Hukum tiup bacaan Quran pada air ketika berubat

- Advertisement -

Soalan:

Saya selalu nampak orang yang membaca akan ayat Quran ketika berubat atau selepas selesai dari solat hajat dia meniup bacaan beberapa ayat Quran kepada air kemudian air itu diberi kepada orang sakit atau seumpamanya. Apakah hukum perbuatan seperti itu?

Jawapan:

Hukum berubat dengan cara membaca ayat-ayat dari Al-Quran kemudian meniup pada badan orang yang sakit adalah harus pada syarak dan dikerjakan oleh Nabi SAW dan para sahabat a.s. dan tabi’in dan orang yang kemudian daripada mereka itu.

- Advertisement -

Dan Al-Quran itu sendiri adalah ubat dan penawar bagi manusia sama ada penyakit zahir atau batin.

Firman Allah Taala:

وَنُنَزِّلُ مِنَ ٱلْقُرْءَانِ مَا هُوَ شِفَآءٌ وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ ۙ وَلَا يَزِيدُ ٱلظَّـٰلِمِينَ إِلَّا خَسَارًا

Ertinya: “Dan Kami menurunkan daripada Al-Quran barang yang ia menjadi penawar dan rahmat bagi sekalian orang mukmin. Dan tiadalah bertambah akan orang-orang zalim itu melainkan kerugian.” (Al-Isra’: 82)

Tersebut pada Kitab Al-Mausu’atul Fiqhiyyah:

صَرَّحَ الْفُقَهَاءُ بِجَوَازِ الاِسْتِشْفَاءِ بِقِرَاءَةِ الْقُرْآنِ عَلَى الْمَرِيضِ، قَال ابْنُ عَابِدِينَ: وَعَلَى الْجَوَازِ عَمَل النَّاسِ الْيَوْمَ وَبِهِ وَرَدَتِ الآْثَارُ

Ertinya: “Telah menjelaskan oleh fuqahak dengan harus memberi minum dengan bacaan Al-Quran akan orang yang sakit. Berkata Imam Ibnu Abidin: Dan atas hukum harus ini ialah amalan orang-orang pada hari ini dan dengannya telah datang atsar yakni perkataan dan perbuatan sahabat Nabi SAW.”

Telah diriwayatkan daripada Aisyah r.a. beliau berkata:

كَانَ رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا مَرِضَ أَحَدٌ مِنْ أَهْلِهِ نَفَثَ عَلَيْهِ بِالْمُعَوِّذَاتِ، فَلَمَّا مَرِضَ مَرَضَهُ الَّذِي مَاتَ فِيهِ جَعَلْتُ أَنْفُثُ عَلَيْهِ وَأَمْسَحُهُ بِيَدِ نَفْسِهِ؛ لأِنَّهَا كَانَتْ أَعْظَمَ بَرَكَةً مِنْ يَدِي

Ertinya: “Adalah Rasulullah SAW apabila salah seorang ahli keluarganya sakit Rasulullah menghembus ke atas keluarganya yang sakit itu dengan bacaan surah Al-Mu’awwizat. Maka ketika Rasulullah mengalami sakit yang membawa kepada wafatnya aku telah meniup ke atasnya dan aku menyapu akan badan Rasulullah dengan tangannya kerana sungguhnya tangannya lebih berkat daripada tanganku.” (Hadis riwayat Muslim)

Maksud surah Al-Mu’awwizat itu ialah surah surah Al-Ikhlas dan Al-Falaq dan An-Nas.

Berkata Imam Nawawi:

يُسْتَحَبُّ أَنْ يُقْرَأَ عِنْدَ الْمَرِيضِ بِالْفَاتِحَةِ لِقَوْل النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: وَمَا أَدْرَاكَ أَنَّهَا رُقْيَةٌ

Ertinya: “Disunatkan bahawa dibaca pada sisi orang yang sakit akan surah Al-Fatihah kerana sabda Nabi SAW: Bagaimana kamu tahu surah Fatihah ini surah jampi?” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Yakni merujuk kepada kisah sahabat Nabi SAW yang bernama Abu Said Al-Khudri r.a. yang telah merawat seorang yang kakinya telah disengat binatang berbisa dengan cara membaca surah Al-Fatihah ke atas orang yang sakit itu dan sakitnya sembuh.

Dan tersebut pada kitab-kitab seperti Hasyiah Ibnu Abidin dan Hasyiah Al-Adawi dan At-Tibyan dan Adab As-Syar’iyah:

وَيُسْتَحَبُّ أَنْ يُقْرَأَ عِنْدَهُ: {قُل هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ} ، وَ {قُل أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ} ، وَ {قُل أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ} مَعَ النَّفْثِ فِي الْيَدَيْنِ، فَقَدْ ثَبَتَ ذَلِكَ مِنْ فِعْل رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Ertinya: “Dan disunatkan bahawa dibaca di sisi orang yang sakit akan surah قُل هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ dan surah قُل أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ dan surah قُل أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ serta meniup pada dua tapak tangan. Maka sungguhnya telah sabit yang demikian itu dari perbuatan Rasulullah SAW.”

Dan hendaklah diketahui bahawa yang menyembuhkan penyakit ialah Allah dan adalah ubat dan tabib dan rawatan yang dilakukan itu wasilah yang dibenarkan olih Allah kita mengambilnya.

Berkata ulamak:

الشفاء يكون دائما بيد الله، هو الشافي القادر على ازالة المرض بفك الكربة لدى الإنسان، وهو وحده الذى نلجأ اليه لإزالة المرض، والأطباء والأدوية وسائل يُعطيها الله لنا من أجل محو المرض ومنح جسم الانسان الشفاء.

Ertinya: “Bermula yang memberi sembuh adalah selamanya terletak pada izin Allah Taala. Dialah yang menyembuhkan yang kuasa atas menghilangkan penyakit dengan mengangkat akan kesukaran yang dialami oleh manusia. Dialah Tuhan yang kita berlindung kepada-Nya bagi menghilangkan penyakit. Dan bermula segala orang yang merawat dan segala ubat-ubatan itu hanyalah wasilah-wasilah yang Allah mudahkan bagi kita bagi tujuan menghilangkan penyakit dan menyisihkan penyakit dari badan manusia.”

Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 31/5/2021

Tulisan ini diambil daripada laman Facebook Ustaz Azhar Idrus.

- Advertisement -