Hakikat mereka yang bising-bising bila ‘total lockdown’

- Advertisement -

LOCKDOWN bermula rasminya esok 01 Jun 2021. Dia punya bertempik dah tiga hari habis group WhatsApp dia bising, mengatakan wakil rakyat dan JPKK buat pekak badak kerana tidak menghiraukan mereka yang terdesak kerana kesan PKP. Setelah disiasat dia mengaku hanya mewakili orang ini dan orang itu. Kita pun pergilah menemui orang itu dan orang ini sepertimana disebut. Bawa apa yang patut.

Terkejut besar tuan rumah, kita pun terkejut. Sebab tuan rumah ayah kepada tauke kedai runcit. Beras dan sedikit barangan lain ini pun kita ambil dulu secara hutang salah satu kedai anak dia untuk kes kecemasan seperti ini. Bila kami dapat sumber baru pergi jelaskan bayaran.

Tak apa mungkin silap faham. Kita pergi ke rumah sepertimana disenaraikan telah habis bekalan sejak PKP bermula esok. Ok lah rumah yang ini ada dua keluarga tinggal sekali tapi tak ramai. Ketua rumah kata bekalan cukup penuh dalam peti ais dan yang pergi beli dekat Sabasun tadi sebahagianya tak dibawa naik lagi dari kereta sebab barang kering.

- Advertisement -

Tak apa, kita anggap ziarah biasa dan tinggalkan juga bekalan yang dibawa sebagai menampung keperluan. Walaupun situasi pada mata kasar, anak dia yang tinggal bersama ini kerja tetap dan perpangkat.

Kami kira seperti tak selesai kes ini. Pergi semula ke rumah pemberi maklumat tadi. Bukan nak gaduh tapi nak kepastian takut tersilap rumah. Kali ini agak serius. Dia kata nak cari semula dalam group WhatsApp maklumat yang dia dapat sebelum ini.

Kita sama-sama tunggu, dia pun tunjuk salah satu dari group Alumni sekolah SM TM tahun 1996. Orang yang beri maklumat tinggal di Johor, dia share satu siapan orang lain. Setelah dia sendiri call kawan dia itu kita dengar bersama-sama perbualan kerana dibuka pembesar suara pada telefon bimbit itu.

Jelas dan terang, kawan dia itu pun dapat maklumat dari group WhatsApp lain yang mungkin ambil masa nak selidiki. Jadi kami ambil keputusan bersama, bukan salah dia ini, bukan salah dia itu. Yang bertempik pun tidak salah.

Kerana kami bukan cari salah. Kami bertindak menyelesaikan masalah. Walaupun ada unsur geram-geram sedikit kami berpura-pura gelak-gelak pasal nak menggambarkan dia tidak bersalah memberi maklumat yang kurang tepat dan tanpa usul periksa.

Memang bukan kerja dia pun nak periksa semua maklumat yang mari dari group-group WhatsApp yang banyak itu. Mungkin dia tidak tahu sungguh. Mungkin segalanya. Kami pun beredar. Tak tunggu lama sangat dalam situasi begini. Duduk bincang pun jauh-jauh saja tanpa naik atas rumah dia… Berdiri depan lambur dia saja.

Kisah kelmarin membuatkan kami bersemangat bersedia menghadapi PKP kali ini dengan pengurusan yang lebih teratur. Saya sempat menasihati Pengerusi JPKK itu dan dua tiga AJK dia agar bersedia hadapi kerenah seperti ini. Mungkin ada sungguh mereka terputus bekalan walaupun PKP bermula esok. Kita sama-sama bantu mereka. Pengerusi JPKK angguk-angguk sahaja menandakan tak kisah dengan apa yang berlaku. Mungkin dia tidak puas hati lagi dengan kejadian seperti itu. 

Ribut petir berdentum dentam katanya apabila baca dalam group WhatsApp kampung, bila balik sampai ke rumah, kebetulan berada di kampung sebelah, kering begaring kata Pengerusi JPKK. Menunjukan dia sudah faham kerenah anak buah dalam group WhatsApp.

NARAZA MUDA – HARAKAHDAILY 31/5/2021

- Advertisement -