Ikut ‘nasihat’ doktor ‘haluan kiri’?’

- Advertisement -

MEMANG kurang cerdik ambil keputusan untuk tidak nak vaksin semata-mata dengar ceramah dari Doktor Sucharit Bhakdi. Lepas itu tulis pula untuk diviralkan kononnya di sini itu bahaya dan boleh membunuh. Lain kali tengok dulu siapa yang menulis dan apakah isi tulisan mereka itu benar ataupun saja manipulasi isu. Di zaman orang nak glamour dan sekarang ini macam-macam ditulis dan divideokan. Di sinilah penting kita sebagai orang berakal, terlebih dahulu selidik betul ke tidak apa yang ditulis itu. Benar atau tidak kenyataan yang dikeluarkan oleh kononnya pakar tertentu.

Doktor Sucharit Bhakdi itu banyak kenyataan kontroversi yang telah dikeluarkan oleh beliau. Antaranya beliau tidak percaya bahawa COVID-19 itu wujud dan beliau mengatakan bahawa COVID-19 hanya palsu. Beliau juga pernah mengeluarkan kenyataan menggesa orang ramai tak perlu pakai mask, ujian PCR itu tipu dan langgar segala SOP yang ditetapkan oleh Kerajaan Jerman. Walhal kita tengok sekarang di negara yang beliau menginap, Jerman itu adalah antara kes yang tertinggi COVID-19 mencecah 3.6 juta dan kematian juga mencanak tinggi 89,000 orang.

- Advertisement -

Beliau juga adalah tokoh yang selalu dinaikkan nama oleh golongan yang menyokong konspirasi. Terutama sekali di Barat dengan wujudnya satu kumpulan yang agak besar yang memberikan nama mereka QAnon. Kumpulan inilah yang selalu membuat kacau bilau dan berdemonstrasi di pusat-pusat bandar menentang apa sahaja arahan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Tempatan. Walaupun beliau hebat. Takkanlah ucapan yang berhaluan kiri dan sudah berpencen dalam bidangnya seperti itu pun kita nak ikut?

Antara dakwaan beliau adalah:

1. Pandemik adalah palsu.

Anda boleh lihat dan nilai sendirilah sama ada COVID-19 yang melanda dunia sekarang ini palsu atau sebaliknya. Kalau masih tak nampak kes mencanak dan kematian bertambah, memang buta mata hati lah. Dia ingat kesengsaraan dan kematian kerana COVID-19 itu lakonan ke?

2. Ujian PCR adalah palsu dan tidak tepat.

Ujian PCR adalah antara ujian standard digunakan seluruh dunia. PCR digunakan untuk mengesan kehadiran virus COVID-19 dalam rongga hidung dan mulut. Walaupun terdapat kemungkinan berlakunya keputusan false negative atau false positif atau sebalik kedua-duanya, tetapi ketepatannnya menghampiri 100 peratus.

3. Mengambil vaksin boleh menyebabkan punca kematian. 

Sejak April 2020 lagi, beliau berteori mengenai auto-antibodi akibat vaksin yang menyebabkan kematian. Seluruh dunia sudah 1.87 bilion dos diberi vaksin. Sehingga kini tiada pun laporan sahih vaksin membunuh manusia secara besar-besaran seperti mana khayalan yang dikeluarkan oleh beliau. Malah vaksin telah pun memberikan perlindungan kepada jutaan orang, mengurangkan kemasukan ke wad kritikal dan mengurangkan jumlah kematian akibat COVID-19.

4. Menggesa jangan ambil vaksin dos ketiga dan keempat.

Sekali lagi teori beliau itu tidak berasas. Seluruh jutaan pakar dunia menolak teori ini. Bahkan buat masa ini vaksin COVID-19, tiada pun lagi kajian supaya diambil bagi dos ke-3 dan ke-4. Andai kata manusia terpaksa ambil dos booster ke-3 atau seterusnya sekalipun, ianya mestilah berdasarkan kajian semasa dan betapa mendesak kita untuk keluar dari pandemik COVID-19 ini. Jika kita semua bersatu padu dan berjaya keluar dari pandemik ini, sudah tentu kita akan kembali ke suasana normal dan sudah tidak perlu lagi vaksin selepas ini. Kerana pada masa itu virus COVID-19 sudah terhapus dan keluk jangkitan sudah melandai.

Nasihat saya agar masyarakat melihat, menilai dan mengambil keputusan berdasarkan fakta yang lebih yakin. Jangan terikut-ikut dengan teori yang tidak berpijak di alam nyata dan disiplin ilmu perubatan sebenar. Ikutilah suara majoriti para pakar yang banyak memberikan penerangan kepada kita. Adalah tidak munasabah seluruh pakar yang siang malam bertungkus lumus menguruskan wabak COVID-19 ini berpakat untuk membunuh umat melalui vaksin. 

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 31/5/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -