Kenal pasti golongan hadapi masalah ketika ‘total lockdown’

- Advertisement -

BERIKUTAN ‘total lockdown’ yang akan dikuatkuasakan dari 1 Jun hingga 14 Jun ini, REACH berharap mereka yang paling terkesan di dalam masyarakat tidak terpinggir. REACH berharap badan-badan dan NGO-NGO yang mewakili penduduk dapat mengenalpasti mereka agar kehidupan mereka tidak terjejas akibat ‘lockdown’ tersebut.

Justeru itu Jawatankuasa Masjid, Jawatankuasa Surau, persatuan penduduk, Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Perbadanan Pengurusan ( MC ), Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan badan-badan serta NGO-NGO yang lain dapat memainkan peranan yang proaktif di dalam kariah, kawasan, blok atau lorong mereka.

- Advertisement -

Warga emas yang tinggal bersendirian, individu yang uzur dan OKU adalah di antara golongan yang paling memerlukan perhatian ketika ‘lockdown’. Jangan sampai mereka keputusan bekalan makanan dan terpaksa berlapar atau kehabisan ubat sehingga menjejaskan kesihatan mereka.

Mereka yang pendapatannya terjejas akibat ‘lockdown’ ini juga termasuk di dalam golongan tersebut. Kerjasama perlu dijalin bersama jabatan dan agensi Kerajaan yang bertanggungjawab atau inisiatif boleh digerakkan di peringkat akar umbi untuk membantu mereka.

Justeru itu kami turut menggesa orang ramai agar prihatin terhadap kebajikan jiran-jiran mereka serta dapat menyalurkan maklumat kepada pihak yang berkaitan jika tidak dapat menghulurkan bantuan peribadi.

Walau bagaimanapun segala langkah-langkah perlu diambil seperti mematuhi SOP untuk memastikan tidak berlaku penyebaran virus COVID-19 agar keselamatan semua pihak terjamin.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Memajukan Masyarakat Dan Perumahan (REACH)
31 Mei 2021 – HARAKAHDAILY 31/5/2021

- Advertisement -