PKP penuh: Bukan masa berpolemik salahkan pihak lain

- Advertisement -

KANGAR: Keputusan kerajaan melaksanakan total lockdown atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dibuat setelah mengambil kira pelbagai faktor.

Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, biarpun keputusan itu dianggap agak terlewat oleh sesetengah pihak, namun ia membuktikan kerajaan berhati-hati sebelum membuat sebarang keputusan.

Katanya untuk membuat sesuatu keputusan PKP penuh bukan perkara yang mudah kerana ia akan memberikan kesan kepada banyak pihak.

- Advertisement -

“Sudah pasti langkah itu bukan khabar gembira buat golongan seperti peniaga khususnya peniaga kecil serta pekerja yang bergaji hari,” katanya di sini.

Selain itu kata beliau pihak industri dan perkhidmatan kurang penting mungkin terpaksa mengecilkan saiz operasi atau berisiko gulung tikar.

Kerajaan mengumumkan melaksanakan PKP penuh mulai esok bagi mengekang penularan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan sekarang.

Malah pada Sabtu lalu kes positif harian Covid-19 dicatat sebanyak 9,020 dan kematian 98 orang iaitu tertinggi setakat ini.

Mohd Shukri yang juga Adun Sanglang berkata, PKP secara penuh terpaksa dilaksanakan demi kebaikan rakyat dan negara kerana peningkatan jangkitan serta kematian.

Oleh itu beliau berharap rakyat bersama dengan kerajaan bagi menangani penularan wabak Covid-19 melalui pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

“Bagi rakyat yang belum mengambil vaksin, ambillah sebagai ikhtiar kerana ia dibenarkan agama kita, di samping itu dapat menunaikan tanggungjawab kita kepada diri, masyarakat dan negara.

“Jangan ada lagi mana-mana pihak yang pentingkan diri dengan engkar terhadap arahan PKP, yang akhirnya menyebabkan dirinya dijangkiti, bahkan orang lain turut menjadi mangsa.

“Ayuh sama-sama kita insaf apa yang berlaku, sekarang bukan lagi masa untuk berpolemik menyalahkan pihak lain,” ujarnya.

Kata beliau juga sekarang masa terbaik bergabung tenaga bersama-sama petugas barisan hadapan yang tidak pernah kenal erti lelah demi menyelamatkan negara. – HARAKAHDAILY 31/5/2021

- Advertisement -