Mengenang 5 tahun pemergian Almarhum TG Salleh Musa

SEMALAM genap 5 tahun Tuan Guru Salleh Musa meninggalkan kita. Masih terngiang-ngiang di telinga bait-bait ayat yang sering dipesan oleh Almarhum Tok Guru. Antaranya ‘Kenal Allah, mengaji Tauhid, istiqamah dengan perjuangan Islam’

Tok Guru amat dekat dengan PAS. Sering bertanya khabar perkembangan PAS bila bertemu. Bila dijelas satu dua perkembangan terbaru PAS, maka Tok Guru akan pesan untuk pakat jaga PAS elok-elok. Tok Guru juga akan ulang sebut apa pesanan Almarhum Ustaz Fadzil Noor kepada beliau.

Advertisement

Setiap kali Munajat Perdana di Kompleks PAS Kedah, Tok Guru adalah pilihan utama untuk memimpinnya. Jarang sangat Tok Guru menolak bila diminta, walau terpaksa membatalkan acara di tempat lain.

Dalam soal menyebar ilmu, Tok Guru akan cerita bagaimana bersemangat Gurunya Pak Daeil menyampaikan ilmu di Makkah walau ketika sakit. Semangat itulah yang menjadi motivasi sepanjang hayatnya untuk menyampaikan ilmu walau dalam keuzuran.

Kita bersaksi, Tok Guru telah menunaikan amanah ilmu, membimbing ummah tanpa jemu, juga menyambung tugas Rasul yang agung. Kepada Allah kita bermohon agar limpahan rahmatNya serta ganjaran yang berterusan ke atas roh Almarhum Tok Guru.

Di bawah saya nukilkan sedikit pesanan Tok Guru yang masyhur:

“Hangpa mengaji tauhid biaq betoi, aqidah tu yang perlu jaga. Hangpa jangan dok buang masa, jangan dok biarkan usia hangpa tu hanyut begitu saja. Isikan usia hangpa ni dengan mengaji ilmu agama.”

“Mulakan dengan ilmu tauhid. Lepas tu, pi mengaji ilmu feqah. Lepas tu, baru pi mengaji ilmu tasawwuf. Jangan dok kalut nak pi ilmu tasawuf, Hadis dan sebagainya… 

“Kalau tak mau ngaji ilmu tauhid. Macam mana nak kenal Allah. Sebab tak kenal Allah lah, depa dok suka sesatkan orang, bida’ahkan orang. Ada ilmu Hadis, tapi ilmu Tauhid tak dak, punah habis semuanya.”

“Nak mengaji ni, ibarat nak naik tangga. Kena langkah dari bawah, barulah sampai kat tingkat atas. Jangan dok kalut nak meloncat nak ke tingkat atas terus… Satgi jatuh, mampuih…

“Kalau nak naik, ikutlah turutan yang betul. Jangan dok ikut puak-puak Syi’ah, Wahabi, Mu’tazilah, Sekular, Liberal dan sebagainya.”

“Kita pegang sungguh-sungguh dengan manhaj Ahlus Sunnah wal Jamaah. Jangan dok lari dari dasar pegangan kita. 

“Sekarang ini, ulamak-ulamak tua tak banyak dah. Yang ada pun tinggal berapa orang saja lagi. Sementara depa masih ada lagi ni, pi lah dampingi depa. Pi duduk dalam majlis Ilmu depa. Cedok ambik ilmu depa. InsyaAllah, Allah akan bantu.”

USTAZ AHMAD YAHAYA 
Pesuruhjaya PAS Kedah – HARAKAHDAILY 31/5/2021