KUALA LUMPUR: Sumbangan rakyat Malaysia menerusi #Aid4Palestine khususnya daripada ahli-ahli, penyokong dan pimpinan PAS telahpun sampai dan diagihkan kepada para penduduk Gaza sejak kelmarin.
Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Kamaruzaman atau dikenali sebagai Nadir An-Nuri yang juga wakil #Aid4Palestine telah menyerahkan sumbangan tersebut kepada penduduk.
Selain keperluan asas dan pembiayaan sewa kediaman, turut disampaikan adalah sejumlah RM250,000 bagi pembelian ambulans sebagai klinik bergerak yang akan berkhidmat menyampaikan rawatan perubatan.
Ketika sama, sambutan kempen #Aid4Palestine bagi fasa berikutnya terus berlangsung apabila PAS sedang meluaskan kutipan sumbangan daripada pelbagai pihak dan entiti terutamanya orang awam.
Pengerusi Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief), Ustaz Mohd Yusni Mat Piah telah menerima serahan sumbangan sebanyak RM19,350 dari kutipan dibuat pada penduduk Kuala Muda, Kepala Batas, kelmarin.
Manakala Pengerusi PASRelief, Muhammad Sanusi Md Nor pula menerima RM30,000 sumbangan daripada Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Sik dalam satu majlis serahan di Sik, semalam.
Ketika ini, lebih 150 Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam gabungan #Aid4Palestine sedang melangsungkan kempen dengan pelbagai cara dan kreativiti pendekatan dalam kalangan warga Malaysia.
Turut bersama adalah Imam Masjid Ubudiah Sik, Ustaz Ibrahim Abdul Rahman serta Pegawai Khas Menteri Besar Kedah, Badrul Hisham Abdul Rahman dan Pegawai Khas ADUN Jeneri, Ustaz Rizal Mat Zainon.
Serahan disampaikan Ahli Parlimen Sik, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman itu turut disaksikan Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Sik, Ustaz Wan Basharudin Wan Ibrahim dan Ustaz Ahmad Subki Sulaiman.
Dalam pada itu, Mudir Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Imam An-Nawawi (MATIN) Arau, Ustaz Yussainie Yahya turut menyerahkan kutipan sebanyak RM130,586 kepada Pesuruhjaya PAS Negeri Perlis, Mohd Shukri Ramli, semalam.
Para dermawan diseru agar sumbangan dibuat menerusi akaun Maybank 5640 7061 4481 (Tabung Kemanusiaan PASRelief) atau https://pasrelief.onpay.my/order/form/gaza dengan rujukan ‘Aid4Palestine’.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh hubungi talian ‘hotline’ 011-2077 5802 atau layari Facebook rasmi PASRelief di https://web.facebook.com/pasrelieff . – HARAKAHDAILY 29/5/2021
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!