Agong titah tangguh Ulang Tahun Hari Keputeraan

- Advertisement -

ADALAH dimaklumkan bahawa susulan peningkatan ketara jumlah kes jangkitan harian dan kematian baharu COVID-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di seluruh negara mulai 12 Mei hingga 7 Jun 2021. Semua acara sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada bulan Jun ini telah ditangguhkan.

Penangguhan ini adalah atas titah perkenan Seri Paduka Baginda setelah mengambil kira faktor keselamatan dan kesihatan umum serta untuk melindungi nyawa rakyat demi mengelakkan krisis kesihatan yang lebih buruk. Perkenan ini juga sebagai langkah perlindungan kerana negara masih Iagi menghadapi dan memerangi penularan wabak COVID-19.

- Advertisement -

Kesemua acara ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak. Ini merupakan kali kedua semua acara sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda ditangguhkan. Pada tahun lalu, semua acara juga ditangguhkan berikutan penularan wabak COVID-19.

Walau bagaimanapun, tarikh 7 Jun 2021 telah ditetap dan diisytiharkan sebagai hari kelepasan am atau cuti umum sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda.

DATO’ INDERA AHMAD FADIL SHAMSUDDIN
Datuk Pengelola Bijaya Diraja
Istana Negara – HARAKAHDAILY 28/5/2021

- Advertisement -