Perkembangan terbaharu susulan insiden tren LRT

- Advertisement -

PADA awal pagi jam 00:19 pagi 28 Mei 2021, Pasukan Pemeriksaan Fizikal yang terdiri daripada pegawai-pegawai Bahagian Penguatkuasaan Rel dan Bahagian Perancangan Rel Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah memulakan kerja-kerja mereka dengan jumlah anggota seramai 8 orang di lapangan serta 2 orang di Pusat Kawalan RRSB.

Hasil Pemeriksaan mendapati Laluan Kecemasan (Emergency Walkway) di sebelah kanan di lim rel 1447 tidak stabil akibat kesan pelanggaran (patah di bahagian tapak). Ianya perlu diambil tindakan pembaikan segera. Di samping itu, 3 Rail clip tidak dipasang pada bahagian rel (1pcs pada lim rel 1445, 2pcs pada lim rel 1444). Rapid Rail telah memasang rail clip tersebut serta-merta.

- Advertisement -

Pasukan Pemeriksaan APAD mengarahkan Rapid Rail menggantikan ‘linear heat detector sensor cable’ yang rosak bermula di segmen terowong 126 sehingga segmen terowong 96 sepanjang lebih kurang 28.5m. Ini adalah untuk memastikan sistem pengesanan kebakaran di dalam terowong berfungsi dengan baik dari Stesen KLCC sehingga Stesen Kg. Baru.

Pihak Rapid Rail memaklumkan bahawa kerja-kerja penggantian akan dilakukan dalam tempoh terdekat. Ini adalah komponen keselamatan kritikal operasi utama bagi perkhidmatan LRT. Sementara itu, pengujian rollover train bermula pada jam 3:08 pagi. Pemerhatian rollover mendapati simulasi pergerakan tren berada di dalam keadaan baik. 

Sebagai rumusan, perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya masih lagi mengikut pelan alternatif seperti yang dihuraikan semalam kerana bagi seksyen yang terlibat dalam pelanggaran tren, hanya satu landasan digunakan. Pasukan Pemeriksaan menyempurnakan misi mereka pada jam 4:30 pagi sebelum perkhidmatan LRT bermula dari 6 pagi hari ini.

Pihak APAD akan memeriksa semula sebaik sahaja pihak Rapid Rail menyempurnakan kerja pembaikan dan pemasangan yang disyaratkan. APAD akan memastikan aspek keselamatan diutamakan sebelum kelulusan pemulihan operasi diberi kepada Rapid Rail.

DATUK SERI IR. DR. WEE KA SIONG
Menteri Pengangkutan Malaysia – HARAKAHDAILY 28/5/2021

- Advertisement -