‘Kita tiada pilihan, ambil suntikan vaksin’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyeru orang ramai khususnya rakyat Malaysia mengambil suntikan vaksin bagi mencegah jangkitan Covid-19 yang lebih serius.

Menurutnya, penularan Covid-19 di Malaysia kini berada dalam tempoh yang sangat kritikal, malah jumlah pesakit dan mangsa terkorban semakin meningkat dari hari ke hari.

“Apa pilihan yang kita ada? Covid-19 melanda negara kita dan kita berada dalam keadaan yag sangat kritikal, dengan jumlah kadar pesakit yang semakin meningkat, kematian juga meningkat.

- Advertisement -

“Kita tiada pilihan, pilihan kita ialah semua rakyat perlu mengambil suntikan vaksin untuk Covid-19. Untuk itu, kita mesti daftar.

“Pastikan kita semua mendaftar, agar kita dapat disenaraikan untuk menerima suntikan tersebut.

“Dalam tempoh menunggu pendaftaran dan kita disahkan untuk dapat suntikan, mari kita bersama-sama menjaga SOP (prosedur operasi standard) masing-masing, jaga penjarakan, jangan pergi tempat orang ramai.

“Pastikan kita memakai face mask apabila di tempat sesak orang ramai,
kemudian kita sentaisa guna hand sanitizer atau sentiasa basuh tangan,” ujarnya dalam satu kenyataan di Facebook beliau, semalam.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kubang Kerian turut mengingatkan umat Islam supaya mengamalkan kembali amalan sunnah ketika berwudhu’ iaitu, memasukkan dan mengeluarkan air ke dalam hidung.

Jelasnya, amalan sedemikian jarang dipraktikkan hari ini, justeru beliau mengajak umat Islam kembali mengamalkannya seiring dengan seruan Nabi Muhammad SAW untuk umat Islam menyempurnakan wudhu’ dan sebagai inisiatif untuk menjaga kebersihan diri.

“Saya juga ingin menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk daftar diri dan pastikan bahawa kita menjadi elemen yang boleh selamatkan diri kita dan orag lain.

“Walaupun kita tahu bahawa vaksin bukan ubat, tetapi ia dapat memberi perlindungan terbaik untuk tingkatkan imunisasi badan kita, dan mengurangkan risiko jangkitan Covid-19,” katanya.

Di samping itu, beliau turut menyeru umat Islam supaya tidak berputus asa dalam berdoa kepada Allah yang merupakan sebaik-baik pelindung dan juga sebaik-baik penjaga. – HARAKAHDAILY 28/5/2021

- Advertisement -