Membela Palestin: Wajib bersama jamaah

- Advertisement -

KETIKA menyampaikan ucaputama Majlis Sambutan 40 Tahun PAS di Muassasah Darul Ulum, Kedah pada 1991, Presiden PAS membuat komentar mengenai pergolakan dan percaturan kuasa besar terhadap Palestin dan langkah umat Islam untuk membebaskannya. Kata beliau:

“Perjanjian damai yang dirangka dan ditaja oleh Amerika untuk menghapuskan terus isu Palestin telah dikecilkan daripada menjadi isu dan kepentingan umat Islam yang lebih besar. Ini yang berlaku di sebalik apa yang disebut sebagai perjanjian damai itu. Amerika juga melalui negara-negara proksinya telah memutuskan isu Palestin dan kaitannya dengan umat Arab di seluruh Timur Tengah sehingga isu tersebut telah dijadikan sebagai isu yang terlibat dengan negara barisan hadapan (front line state) sahaja seperti Jordan, Syria, Mesir dan Saudi.

“Tindakan pemimpin-pemimpin negara tersebut bersetuju menerima rangka perdamaian yang ditaja oleh Amarika adalah membuktikan kepada umat Islam suatu tindakan menyerah kalah secara rasmi dan dengan itu menunjukkan satu peristiwa sekali gus menggambarkan kegagalan pimpinan politik dan sistem yang diamalkan oleh mereka selama ini.

- Advertisement -

“Pemimpin-pemimpin negara di dunia termasuk negara-negara umat Islam tidak dapat diharapkan untuk memainkan peranan. Mereka seolah-olah telah menjadi anggota kelab penyokong Amerika. Masa depan dunia terserah kepada golongan rakyat yang tertindas. Umat Islam terpaksalah memainkan peranannya.

“Kita hendaklah melakukan apa yang kita perlu lakukan. Kita bangun dan perkuatkan gerakan Islam yang ada di tempat masing-masing. Umat Islam hendaklah berpegang kepada perpaduan yang dianjurkan oleh Rasulullah S.A.W iaitu membangun melalui jamaah Islam yang padu dan unggul. Sebuah jamaah yang kuat dan mantap.

“Sabda Rasulullah S.A.W yang mafhumnya menghendaki umat Islam berada di dalam satu jamaah. Tidak wajar bagi umat Islam mengadakan jamaah lain selagi dalam masyarakat itu sudah sedia ada jamaah Islam.”

– Dato Haji Fadzil Mohd Noor (1991), Wawasan Ummah, Jabatan Penerangan PAS Pusat, Kuala Lumpur.

MOHD FADLI GHANI – HARAKAHDAILY 20/5/2021

- Advertisement -