Penyelesaian dua negara suatu kegagalan yang jelas

- Advertisement -

PERSATUAN Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) merujuk kepada Perutusan Khas YAB Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 15 Mei 2021 berkenaan kebimbangan sejagat umat Islam di dalam kekejaman dan kezaliman terbaru yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel ke atas rakyat Palestin yang masih tidak dihentikan oleh Rejim Zionis Israel. PPMM mengulangi kenyataan sebelum ini yang bertarikh 14 Mei 2021.

PPMM menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia yang secara terbuka melalui Perutusan Khas YAB Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin mengukuhkan pendirian yang telah terbina ke atas perjuangan rakyat Palestin selama ini dengan memberikan sokongan diplomatik, logistik, dan moral sehingga kini. Selain itu, PPMM juga menyokong penuh usaha antara (3) tiga negara di peringkat serantau terdiri daripada Malaysia, Indonesia dan Brunei di dalam memulakan usaha di peringkat Asia Tenggara dan negara-negara Islam. Ianya tidak harus hanya sekadar kenyataan tetapi tindakan yang sewajarnya perlu diambil.

- Advertisement -

PPMM mengulangi bahawa kekejaman ke atas umat Islam di Palestin adalah suatu yang tidak boleh diterima oleh mana-mana individu yang waras dan jelas merupakan perlanggaran jenayah perang mengikut Perjanjian ke-

Konvensyen Geneva (‘Geneva Convention’). Malahan, PPMM juga menegaskan bahawa Malaysia kini berada di dalam landasan betul dan tepat di dalam memainkan peranan di peringkat Antarabangsa di dalam membela nasib rakyat Palestin menerusi Kementerian Luar Negara sama ada melalui rundingan mediasi ataupun tindakan bersepadu.

Selain itu, PPMM menegaskan penyelesaian dua negara (two state solution) berdasarkan garis sempadan pra-1967 dengan Baitul Maqdis Timur sebagai ibu kota Palestin telah gagal menyelesaikan kemelut ini kerana Zionis Israel tidak pernah mengiktirafnya. Malahan, Resolusi 242 Perjanjian Bangsa-bangsa Bersatu pada 1967 serta beberapa siri-siri perjanjian Antarabangsa susulan telah dicabuli oleh Israel yang telah dilakukan melalui pelbagai usaha diplomatik di peringkat Antarabangsa. Halatuju Negara Palestin perlu kepada suatu kemerdekaan penuh tanpa berkompromi puak Rejim Zionis Israel. Oleh itu penyelesaian dua negara telah gagal dan tidak perlu dipertegaskan lagi. Rejim Zionis juga pernah mendambakan ‘The Greater Israel’ yang meliputi Kawasan hingga ke Iraq.

Sehubungan itu, PPMM menyeru bahawa segala usaha penyelesaian yang dilakukan perlulah memberikan hak penuh dan manfaat kepada rakyat Palestin di dalam membebaskan negara Palestin daripada terus dijajah oleh Rejim Zionis Israel. Malahan, usaha penyelesaian dua negara (two state solution) juga jelas tidak diterima baik oleh rakyat Palestin yang mahukan segala pencerobohan haram oleh pendatang-pendatang haram dihentikan serta-merta. PPMM juga berpendapat bahawa status Baitul Maqdis sebagai tanah waqaf umat Islam tidak wajar dikompromi dengan penaklukan haram oleh Rejim Zionis Israel dan dengan tindakan terbaru telah menukar status kepada ibu negara haram Israel.

Solidariti umat Islam di Malaysia dengan rakyat Palestin bukan hanya sekadar kenyataan yang dikeluarkan sahaja, malah ramai yang telah memainkan peranan sama ada kecil atau besar dalam kemampuan masing-masing termasuk memberi bantuan kewangan, memberi penerangan di media sosial dan melawan tipu daya Zionis Israel di dalam media.

Justeru, PPMM terus menyokong penuh usaha-usaha dimainkan oleh Kerajaan Malaysia di dalam memastikan hak dan perjuangan rakyat Palestin yang telah diperjuangkan sejak berdekad-dekad di dalam mempertahankan kota suci ketiga umat Islam itu secara berterusan tanpa merujuk kepada penyelesaian dua negara lagi termasuklah menghantar tentera pengaman dan bantuan untuk Palestin.

Kami saf pimpinan dan ahli-ahli PPMM berdoa agar kekejaman di Palestin ini dapat diakhiri segera dan Islam kembali memerintah Palestin dengan adil dan ihsan. Apabila Islam memerintah hak beragama orang Islam, Yahudi dan Kristian di Baitul Maqdis akan sentiasa dipelihara.

MUHAMAD HISHAM MARZUKI
Timbalan Presiden
Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia – HARAKAHDAILY 17/5/2021

- Advertisement -