Pengajaran dari semangat Gaza

- Advertisement -

GAZA hanyalah seluas 365 km persegi, iaitu kurang separuh dibandingkan keluasan Negeri Perlis (819 km persegi). Bersempadan dengan Zionis Israel yang kejam dan zalim. Juga bersempadan dengan Negara Mesir yang sukar membuka border mereka untuk membolehkan rakyat Gaza menikmati hidup kecuali pada zaman Presiden Mursi yang lepas. Bahkan Mesir di pentas Antarabangsa lebih berpihak kepada Israel dibandingkan rakyat Palestin di Gaza. Kita hanya dapat masuk ke Gaza, jika Mesir membuka laluan.

Pun begitu, dalam kesempitan tanah dan hidup, rakyat Gaza satu-satu masyarakat Arab yang berupaya membalas tindakan jahat Israel. Wilayah yang sekecil dan sedaif itu, mampu membedil Tel Aviv dan memasukkan ketakutan ke dalam jiwa Zionis yang dilaknat. Hal seperti itu tidak mampu dilakukan oleh negara-negara Arab yang sebahagian pemimpin sentiasa berpakaian tentera tetapi hanya mampu menangkap dan membunuh rakyat sendiri. 

- Advertisement -

Mesir yang bersempadan dengan Israel umpamanya, membunuh ramai rakyatnya sendiri dibandingkan Zionis yang berjiran dengannya. Kelengkapan tenteranya yang kuat tidak pernah digunakan untuk menggugat Israel melainkan seketika pada zaman Jamal Abdun Nasir. Itupun terhenti apabila Kuasa-kuasa Besar tidak ‘redha’. Sementara Mursi sebuah pemerintahan yang lemah dan dirampas oleh Sisi.

Negara-negara Arab yang bersempadan dengan Israel ialah Mesir, Jordan, Syria dan Lubnan. Adapun Jordan banyak berpihak pada rakyat Palestin tapi tidak kuat dari segi ketenteraan dibandingkan Israel. Syria dengan ketaatannya. Usah bicara mengenai negara-negara Arab lain yang tidak bersempadan dengan Israel. Mereka pun turut menjaga hati Amerika dengan cuba tidak berkasar terhadap Israel. Bahkan UAE melangkah lebih jauh dengan menjalinkan hubungan mesra dengan Israel kebelakangan ini.

Rakyat Gaza, sekurang-kurangnya bermaruah, tidak membiarkan diri mereka dipijak sekalipun mereka daif dan kerdil. Roket-roket yang dilancarkan ke Israel mengangkat maruah umat Islam dan memberikan inspirasi buat kaum yang tertindas. Menang dan kalah adat perjuangan. Namun, jiwa bermaruah ada prinsip kehidupan.

Demikianlah, jika kita mahu hidup bermaruah kita mampu lakukan sekalipun kita lemah dan terpaksa berkorban. Jika tidak, kita akan menjadi bangsat di bawah orang lain, sekalipun nampak macam kuat dan kaya.

DR. MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN – HARAKAHDAILY 17/5/2021

Sumber asal: https://www.facebook.com/100044392870897/posts/325494502273643/

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -