Berdayakan SADA, gigih selesai belenggu masalah air

- Advertisement -

KADAR takungan air mentah enam empangan yang menjadi kawasan tadahan di negeri ini sentiasa berada di paras tertinggi. Malah, ketika musim kemarau sekalipun, kapasitinya cuma menyusut antara 25 hingga 30 peratus sahaja. 

Semua empangan ini mengumpulkan jumlah air sebesar 1,482,340,000 meter padu iaitu lebih dari mencukupi bagi keperluan Kedah. Kerana itu, sumber air mentah dari negeri ini turut dapat dibekalkan kepada negeri jiran; Perlis dan Pulau Pinang.

- Advertisement -

Setakat tahun 2020, air bersih terawat yang dibekalkan kepada pengguna melibatkan purata 611,217 akaun adalah 23,338,497 meter padu sebulan atau setiap akaun menerima 1.27 meter padu sehari. Ia pertambahan hampir 10,000 akaun daripada tahun sebelumnya, tetapi kadar dibekalkan ke setiap akaun sedikit kurang.

Sebabnya, loji rawatan air (LRA) yang ada di negeri ini tidak dinaik taraf dan dibina baharu seiring pertambahan penduduk dan keperluan industri. Diburukkan lagi oleh purata Air Tidak Berhasil atau Non-Revenue Water (NRW) sangat tinggi iaitu 47 peratus, melebihi ketetapan 29.2 peratus oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Sistem agihan yang terlalu uzur, rosak dan bocor kerana tidak bergantian atau diselenggara sekian lama inilah penyebab masalah perkhidmatan air di negeri Kedah. Bekalan terputus, paip keluar angin dan sebagainya adalah isu yang tidak selesai untuk tempoh sangat lama.

Kegawatan itu telah menumpahkan perhatian Muhammad Sanusi Md Nor yang segera mengarahkan penubuhan Jawatankuasa Khas Siasatan sebaik selesai angkat sumpah Menteri Besar. Tugas ini dimandatkan kepada bekas Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato’ Sri Mohamad Shukri Abdull.

Turut menyumbang kepada masalah tersebut adalah kelemahan tadbir urus politik, karenah birokrasi dan juga menswastakan pengurusan air kepada pihak lain. Keuntungan yang diperolehi pula tidak dibelanjakan bagi membaik pulih prasarana air, tetapi kepada tujuan lain.

Juga antara didapati berlaku banyaknya pembayaran tidak perlu, selain pembiayaan ke atas individu lantikan politik, termasuk tuntutan pengangkutan dan perjalanan serta pembelian aset yang bukan untuk keperluan Syarikat Air Darul Aman (SADA).

Ketika mengambil alih pentadbiran pada Mei 2020 itu juga, SADA sedang menanggung hutang sebanyak RM147 juta. Sanusi mengorak langkah mengubah cara kerja dan cara fikir jentera ke arah menyempurnakan urusan perkhidmatan yang menjadi keperluan utama ini.

Beliau memberikan kepercayaan dan menggerakkan seluruh tenaga mahir dan pakar yang dimiliki SADA untuk mengurus sepenuhnya perkhidmatan perbekalan air negeri ini. Lantaran itu, beliau juga mengambil ‘tindakan berani’ apabila menamatkan konsesi Air Utara Indah Sdn Bhd (AUISB) dan Taliwork Langkawi Sdn Bhd (Taliwork).

Dua syarikat yang mengendalikan LRA di Bukit Pinang, Plubang, Sungai Petani, Sungai Ular dan Pinang Tunggal serta seluruh urusan di Langkawi ini masing-masing ditamatkan konsesi pada 1 Ogos dan 31 Oktober 2020. Penamatan ini memberikan kelegaan aliran tunai sebanyak RM12 juta sebulan kepada SADA.

Hasilnya, dalam tempoh empat bulan, SADA telah berjaya membayar hutang RM38.8 juta daripada RM44.56 juta kepada AUISB, manakala RM25.82 juta daripada RM63.1 juta kepada Taliwork. Menteri Besar yakin semua hutang tersebut akan dilangsaikan pada suku tahun ini.

Kesungguhan Sanusi tidak dapat disangkal lagi apabila pembinaan lima lagi LRA baharu berjaya dimuktamadkan setelah ianya tertangguh sejak beberapa tahun. Ianya datang dari kejayaan beliau mengadakan perundingan bersama pihak Kerajaan Persekutuan.

Dengan pembinaan yang dijangka siap pada tahun 2024 itu, masalah perbekalan air membelenggu negeri Kedah selama ini termasuk NRW yang besar dan kebocoran bawah laut ke Langkawi akan dapat diselesaikan. Malah, akan berupaya memenuhi keperluan sektor industri terutama projek-projek mega yang telah menerima pelabur untuk membangunkannya.

Lebih dari itu, kejayaan rundingan telah membawa persetujuan daripada Kerajaan Persekutuan untuk empat darinya diberi geran dan hanya satu berupa pinjaman. Manakala hutang sebelumnya dikurangkan serta pemilikan kepada negeri diberi menerusi migrasi yang dimeterai di bawah Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB) awal Mac lalu.

Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man ketika mengumumkan keputusan Kerajaan Persekutuan pada hujung 31 Mei 2020 memaklumkan 24 projek alam sekitar dan air menelan belanja keseluruhan RM4.44 bilion diberikan untuk Kedah.

Perincian peruntukan tersebut ialah Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Selambau sebanyak RM147.78 juta, LRA Sungai Limau (RM108.41) dan LRA Jeniang Baru (RM161.98 juta), LRA Lubuk Buntar Lama (RM57.42 juta) dan LRA Pelubang (RM455.98 juta). 

Manakala 3 kilometer saluran air dari tanah besar ke Langkawi yang menyebabkan kebocoran 20 juta liter air sehari akan dibaikpulih bagi mengatasi masalah besar bekalan air dihadapi pulau tersebut. Bagi kawasan takungan air di Langkawi, disediakan rancangan bekalan yang mampu memenuhi keperluan sehingga tahun 2040 bagi pulau pelancongan itu.

Keseluruhan kos diperuntukkan untuk Langkawi itu katanya, berjumlah sekitar RM600 juta di mana semua ini dijangka siap sepenuhnya pada 2024. Turut diumumkan beliau adalah peruntukan RM136 juta untuk projek tebatan banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air, Tenaga, Pengairan dan Saliran, Dato’ Suraya Yaacob menegaskan bahawa kerajaan negeri komited menghadapi segala kekangan permasalahan bekalan air. Termasuk bakal dihadapi pada masa akan datang memandangkan ia merupakan satu-satunya aset negeri yang perlu dijaga dan dilaksanakan demi rakyat.

“Bagi meneliti dan memahami masalah bekalan air negeri, pihak kerajaan mengklasifikasikan tindakan secara makro yang menyentuh segala permasalahan yang berkaitan infrastruktur bekalan air, sama ada loji rawatan air, saluran atau jaringan paip retikulasi, ‘sub-marine pipe-line’ dan sebagainya. 

“Manakala pendekatan mikro pula menyentuh segala yang berkaitan urus tadbir, pengurusan, operasi dan perkhidmatan bekalan air, khususnya hal ehwal dalaman Syarikat Air Darul Aman (SADA),” ujar beliau turut memuji kerjasama KASA.

Tambah Suraya lagi, kerajaan negeri juga turut menumpukan perhatian kepada potensi sumber-sumber air baharu melalui Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) di mana Lembangan Sungai Muda dilihat berpotensi tinggi untuk disimpan sebagai sumber air baharu negeri Kedah.

“Saya yakin, sumber-sumber air baharu ini amat bernilai bagi menjamin kesinambungan industri bekalan air di negeri kita pada masa yang akan datang,” ujarnya.

Namun, penyokong pembangkang kehabisan modal apabila menjaja isu murahan pembelian kenderaan Vellfire yang dituduh untuk kegunaan Menteri Besar. Serta mengenai pelantikan Dato’ Azmi Din selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang diisukan kononnya sudah tidak berupaya kerana berkerusi roda.

Hakikatnya, Vellfire dibeli sebagai kenderaan rasmi bagi kegunaan SADA yang selama ini tidak punya aset begitu untuk mengambil individu penting seperti Dato’ Sri Shukri. Bayangkan dengan komitmen diberikannya berulang-alik dari Kuala Lumpur untuk tugasan penting itu tanpa mempunyai kenderaan sewajarnya.

Begitu juga Dato’ Azmi selaku bekas CEO yang diperingkat awal dipanggil segera selaku Pengarah Eksekutif. Semua tindakan ini adalah sebagai ‘operasi menyelamat’ SADA itu sendiri.

Menteri Besar baharu bahkan berjaya mewujudkan budaya kerja yang penuh semangat untuk menyumbang tenaga dan menggembleng kepakaran. Misalnya menamatkan kontrak memotong rumput di LRA oleh pihak luar, sebaliknya diberi tawaran kepada para Pembantu Am Rendah SADA sendiri.

Begitu juga tugas dan kerja lain dimanfaatkan kepada pekerja mahir dan profesional dalam SADA yang menambahkan imbuhan kepada mereka. Akhirnya, mereka bekerja dengan seronok dan berlaku peningkatan prestasi memberangsangkan.

Semua ini membawa kepada penyelesaian komprehensif yang menguntungkan rakyat dan negeri terhadap masalah yang tereksploitasi sekian lama oleh pelbagai kelewaan.

IZWAN ABDUL HALIM – HARAKAHDAILY 17/5/2021

- Advertisement -