Saman fitnah Vellfire pengajaran buat semua – DPP Kedah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Fitnah terhadap Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkaitan pembelian kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire milik Syarikat Air Darul Aman (SADA) untuk kegunaan peribadi adalah melampau.

Ketua Pemuda PAS Kedah, Nurul Amin Hamid berkata, tindakan Muhammad Sanusi memfailkan saman ke atas beberapa individu termasuk bekas pemimpin-pemimpin kerajaan daripada Pakatan Harapan (PH) sebagai pengajaran supaya tidak berulang lagi.

- Advertisement -

Langkah tersebut diambil setelah mendapati penjelasan semula kepada rakyat berhubung fitnah tersebut dilihat tidak mampu memulihkan kerosakan reputasi yang ada.

Malah kata Nurul Amin berlaku serangan berterusan daripada pembangkang terhadap Muhammad Sanusi.

“Tindakan memfitnah Menteri Besar ini dilihat melampau, dan apabila kita memberikan penerangan kepada rakyat, tetap juga serangan ini berlaku.

“Jadi, untuk memulihkan keadaan, Menteri Besar memfailkan saman supaya pihak-pihak yang membuat fitnah ini sedar, ini bukan satu perkara yang kecil, tapi satu fitnah yang perlu dihentikan, terutamanya dari kalangan pemimpin-pemimpin pembangkang.

“Prosedur saman ini sebagai pengajaran kepada semua pihak bahawa jangan diulangi. PAS mengamalkan konsep Budaya Politik Matang Sejahtera yang berasaskan fakta bukan persepsi, dan kita mahu budaya persepsi yang salah ini dihentikan dengan segera,” ujarnya.

Nurul Amin berkata kepada Harakahdaily bagi mengulas tindakan susulan MB Kedah yang menfailkan saman kepada beberapa individu terlibat memfitnahnya mengenai isu pembelian Vellfire oleh SADA untuk kegunaan peribadi.

Nurul Amin menjelaskan pembelian Toyota Vellfire oleh syarikat utiliti itu adalah mengikut tatacara dan perolehan aset yang betul oleh SADA setelah kewangannya kembali stabil setelah mencatatkan rekod buruk sebelum ini.

“Kalau kita lihat pada zaman PH dan BN, dahulu SADA mengalami kerugian puluh-puluh juta, hutang yang tinggi, pengurusan yang teruk, berlaku penyelewengan dan pelbagai masalah-masalah bekalan air berlaku pada zaman mereka.

“Tetapi semenjak kita mengambil alih kerajaan, SADA yang diterajui oleh kepimpinan yang baharu, menyaksikan kita berjaya menamatkan kontrak konsensi air kepada Air Utara Indah Sdn Bhd (AUISB) dan Taliworks Sdn Bhd (TLSB) yang mana sebelum ini mempunyai keuntungan, tetapi duit tersebut tidak masuk ke dalam poket rakyat dan poket kerajaan negeri.

“Setelah kita tamatkan perjanjian tersebut, kita memperolehi keuntungan RM2 juta sebulan, yang masuk,” katanya membuat pendedahan.

Tambah Nurul Amin, SADA dijangka dapat menyelesaikan masalah hutang berjumlah lebih ratusan juta dalam masa terdekat selain terus mencatatkan kejayaan demi kejayaan setelah kerajaan negeri berubah tangan.

Selain itu kata Nurul Amin, SADA turut berusaha menjaga imej serta menambah baik pengurusannya termasuk mengurus tetamu-tetamu penting dari dalam dan luar negara.

Atas dasar itu, kata Nurul Amin, SADA membuat keputusan untuk membeli sebuah kenderaan jenis MPV yang diharapkan dapat dimanfaatkan oleh pelbagai pihak dan mampu memuatkan ramai penumpang dalam satu-satu masa.

“Jadi, kereta tersebut dibeli melalui perolehan aset yang betul, malah baru-baru ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang masuk untuk meneliti beberapa dokumen berkaitan pembelian tersebut juga menyebut bahawa pembelian itu tidak membawa apa-apa masalah dari pandangan SPRM,” jelas Nurul Amin panjang lebar.

Sehubungan itu, beliau turut berharap agar masyarakat awam menyedari bahawa tindakan menimbulkan persepsi yang salah dengan melontarkan fitnah boleh menjadi satu barah dalam sesebuah masyarakat dan perlu dihentikan segera. – HARAKAHDAILY 23/10/2020

- Advertisement -