ATM bina ‘Field ICU’ di Hospital Kepala Batas

- Advertisement -

KEPALA BATAS: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menganggap keperluan mendesak untuk mewujudkan Field ICU yang dikhaskan untuk merawat pesakit kritikal di Hospital Kepala Batas.

Ia disebabkan faktor peningkatan kadar penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) Covid-19 di hospital-hospital Pulau Pinang yang mencecah lebih 100 peratus.

- Advertisement -

Kementerian Kesihatan juga mendapati trend kemasukan pesakit ke ICU di Pulau Pinang meningkat lebih 45 peratus untuk tempoh dua minggu kebelakangan ini.

KKM dalam satu kenyataan memberitahu trend itu dijangka berterusan berikutan wujudnya kluster-kluster baharu yang melibatkan rumah jagaan warga emas.

“Field ICU yang bakal didirikan di Hospital Kepala Batas akan menggunakan konsep modular di mana ia mampu merawat sehingga 27 pesakit kritikal Covid-19 yang memerlukan bantuan pernafasan serta peralatan life support.

“Selain itu turut dilengkapi mesin dialisis untuk pesakit-pesakit yang mengalami kegagalan fungsi buah pinggang akibat daripada jangkitan Covid-19, dan infusion pump bagi menyokong fungsi jantung,” katanya pada kenyataan di laman sosial KKM.

Semalam Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah turut melawat Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan membincang ‘Dry Run Field ICU’ yang akan dibina di Hospital Kepala Batas.

Taklimat ‘dry run’ tersebut disampaikan Pengarah Perubatan, Markas ATM-Bahagian Perkhidmatan Kesihatan Mej Jen Dato’ (Dr) Mohammad Amirrudin Hamdan.

Hadir sama pegawai Bahagian Perubatan dan Perkhidmatan Kejuruteraan KKM.

Selain itu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga akan mendirikan makmal modular dan unit radiologi modular bagi memberikan kemudahan perkhidmatan sokongan klinikal kepada pesakit-pesakit kritikal yang ditempatkan di ‘Field ICU’.

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya menyampaikan penghargaan kepada ATM dan pengurusan tertinggi Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di atas kerjasama membina ‘Field ICU’ di Hospital Kepala Batas.

“Semoga segala usaha itu dapat membantu Kementerian Kesihatan memastikan rawatan yang terbaik diberikan kepada pesakit-pesakit kritikal Covid-19 di Kepala Batas,” katanya. – HARAKADAILY 17/5/2021

- Advertisement -