Ekonomi dan isu alam sekitar

AKU melihat kepentingan ilmu ekonomi bila semakin mendalam libat urus dalam isu alam sekitar. Ini kerana, halangan ekonomi akhirnya menjadi sebab orang tak peduli hal alam sekitar apatah lagi hal ekologi.

Ekonomi adalah suatu bidang kajian sains sosial yang mengkaji bagaimana untuk menguruskan sumber ekonomi yang terhad bagi memenuhi kehendak yang tidak terhad. Ilmu ekonomi meliputi 2 bidang kajian;

Advertisement

(1) Mikroekonomi:

Menganalisis unit-unit secara individu daripada keseluruhan kegiatan ekonomi contohnya kesan perubahan harga ke atas permintaan kereta. Unit-unit ekonomi adalah isu rumah, firma, kerajaan dan sektor luar negara.

(2) Makroekonomi:

Kajian ekonomi secara menyeluruh (agregat) yang melibatkan pembolehubah ekonomi seperti Pendapatan Negara, Guna Tenaga, Inflasi dan Imbangan Pembayaran. Contohnya kesan inflasi dan pengangguran terhadap Keluaran Negara.

Ramai orang rasa berminat nak berbincang mengenai alam sekitar tapi tak sedar betapa sempit dan terkongkongnya wacana alam sekitar dalam ‘frame’ ekonomi alam sekitar (environmental economic).

Apa itu ekonomi alam sekitar?

Hanyalah satu juzuk dalam sistem ekonomi konvensional yang melihat alam sekitar hanya sebagai alat untuk dieksploitasi. Untuk keluar daripada ‘frame’ yang dibuatkan oleh sistem ekonomi konvensional yang cuba menguasai dan menentukan hala tuju pentadbiran setiap negara bangsa dan dunia, kita harus mengimbangi tafsiran alam sekitar dengan memahami ilmu ekologi.

Sistem ekonomi konvensional adalah tegar bersifat material kebendaan, mekanis, rasionalis sempit dan hanya melihat sumber daya alam (natural resources) sebagai hanya sekadar alat eksploitatif.

Berbanding dalam ilmu ekologi yang lebih melihat sumber daya alam sebagai suatu makhluk kehidupan yang perlu diurus secara apresiatif (terhormat) dan mengiktiraf ‘perkhidmatan ekosistem’ (ecosystem services) sebagai pelengkap dalam pengurusan sumber daya alam.

Ilmu ekologi difahami sebagai suatu ilmu yang membincangkan bagaimana suatu benda hidup (organisme) berhubung atau berinteraksi dengan kehidupan lain serta persekitaran fizikal mereka.

Benda hidup ini terbahagi kepada 2 jenis iaitu;

(a) Biotik – Kehidupan yang bernyawa atau bergerak aktif (living organisme).

(b) Abiotik – Kehidupan yang tak bernyawa atau tak bergerak secara aktif (non living physically or factors).

Wacana fikir berkaitan keseimbangan ekonomi dan ekologi ini dapat dilihat melalui Tafsir Imam al Qurtubi dalam tafsirnya terhadap ayat 29, surah Baqarah:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا….

“Dialah Allah, yang menjadikan segala yang ada di bumi untuk kamu…”

Huruf Lam (ل  ) dalam perkataanلَكُم  yang secara literal bermaksud untuk kamu itu boleh ditafsirkan dalam 2 konteks keadaan;

(1) Untuk kamu ( لَكُم )mengambil manfaat (lil intifa).

(2) Untuk kamu (لَكُم  )mengambil iktibar (lil iktibar). 

Huraian Imam Al Qurtubi memanjangkan wacana dengan menghuraikan elemen ‘lil iktibar’ yang lebih menjurus kepada elemen perbincangan secara ‘ekologis’. 

Yakni melihat sumber daya alam sebagai suatu benda hidup abiotik yang ada kehormatan dan tidak boleh dieksploitasi secara ekonomik sesuka hati.

Huraian beliau boleh diperkuatkan lagi dengan pelbagai ayat Quran lain yang membincangkan soal fungsi sebagai khalifah (steward) yang hanya diamanahkan untuk mengurus segala sumber daya ciptaan seiring dengan konsep ‘al qadr’ dan ‘al mizan’ (ukuran dan neraca keseimbangan atau keadilan). 

Konsep ‘al-Qadr’ (kadar ukuran)

Surah al-Qamar ayat 49:

إِنَّا كُلَّ شَيْءٍ خَلَقْنَاهُ بِقَدَرٍ

“Sesungguhnya Kami menciptakan segala sesuatu menurut ukuran.”

Konsep ‘al-Mizan’

Surah ar-Rahman ayat 7 dan 8:

وَالسَّمَاءَ رَفَعَهَا وَوَضَعَ الْمِيزَانَ

“Dan Allah telah meninggikan langit dan Dia meletakkan neraca (keadilan).”

أَلَّا تَطْغَوْا فِي الْمِيزَانِ

“Supaya kamu jangan melampaui batas mengenai neraca itu.”

Kefahaman konsep al-Qadr dan al-Mizan iaitu ukuran dan neraca keseimbangan ini diaplikasikan seiring dengan amanah manusia sebagai pentadbir alam semesta yang mengambil manfaat terhadap sumber daya alam dengan penuh iktibar.

Memahami keperluan ekonomi dan ekologi dengan menghayati konsep-konsep yang dinyatakan itu akan mendorong kita supaya lebih mantap mengisi pembangunan dunia secara mampan iaitu ‘Sustainable Development’(Pembangunan Mampan).

Dunia sekarang semakin giat membincangkan soal Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals – SDGs) yang merupakan penerus terhadap wacana Matlamat Pembangunan Kemanusiaan (Human Development Goals – HDGs). 

Apa yang dipertingkatkan melalui SDGs daripada HDGs adalah mempertahankan dan memulihara keupayaan sistem alam ciptaan Tuhan (natural system) menyediakan sumber daya alam ciptaan (natural resources) dan perkhidmatan ekosistem (ecosystem services) yang mana aktiviti ekonomi dan masyarakat bergantung padanya. Bermakna masyarakat dan ekonominya sangat bergantung pada ekologi. 

Oleh yang demikian, kesimpulannya:

(1) Penumpuan hal ekonomi dengan hanya menganggap agenda alam sekitar dalam kerangka ‘ekonomi alam sekitar’ semata-mata adalah suatu bentuk kedangkalan fikir.

‘Natural Resource insecurities are impediments to social stability and economic growth.’ – Hezri Adnan

‘Ketidakselamatan sumber daya alam adalah halangan kepada kestabilan sosial dan pertumbuhan ekonomi’ – Hezri Adnan

(2) Konsep Ukuran dan Neraca Keseimbangan adalah penting difahami dengan baik supaya wacana SDGs yang cuba ditampilkan dapat dilaksanakan dengan penuh rasa bertanggungjawab dan bukanlah semata-mata untuk memanipulasi keperluan ekologi semata-mata tanpa bersifat adil untuk memberi ruang kepada ekonomi dan sosial untuk bergerak dan berkembang.

Ataupun di satu hujung spektrum yang lain, masih terperangkap dalam kerangka fikir sistem ekonomi konvensional lama yang menjadikan sikap tamak haloba untuk diri sendiri sebagai matlamat utama dalam kehidupan.

Pokoknya 3 tiang seri utama iaitu ekonomi, ekologi dan sosial masyarakat itu perlu diberi ruang atas neraca ukuran yang seimbang untuk terus membangun dan maju ke hadapan bagi mengecapi kesejahteraan hidup.

Semoga tulisan ini membuka minda dan meluaskan horizan pemikiran apabila membincangkan soal ekonomi atau alam sekitar. 

ZIKRULLAH ISMAIL – HARAKAHDAILY 17/5/2021