Imbang kepentingan ekonomi dan keselamatan rakyat

- Advertisement -

BUKTI komitmen YAB Menteri Besar Kedah terhadap kebajikan rakyat negeri ini, beliau berusaha mendapatkan persetujuan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membenarkan bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri terus dibuka di lima daerah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kita maklum bahawa keputusan ini amat berisiko dengan peningkatan kes jangkitan baharu setiap hari namun atas pertimbangan untuk memastikan rezeki peniaga-peniaga kecil tidak terjejas, YAB Menteri Besar lakukan juga usaha ini dengan hati yang amat berat seumpama pepatah diluah mati emak, ditelan mati bapa.

- Advertisement -

Ini bukanlah tindakan yang semata-mata untuk mencari populariti tetapi suatu inisiatif yang diusahakan atas rasa tanggungjawab dengan cara meminimumkan potensi kerosakan antara kepentingan ekonomi rakyat dan juga keselamatan nyawa orang ramai. Jika tidak berhati hati, risiko yang menanti teramatlah tinggi.

Justeru sebagai cara berterima kasih, semua pihak haruslah benar-benar patuh SOP, tidak ambil mudah bersikap sambil lewa terhadap bahaya COVID-19 yang sedang berlegar memburu mangsa dalam komuniti kita.

Selepas ini, jika pihak berkuasa terpaksa tarik balik kelonggaran atau perketatkan SOP, jangan salahkan orang lain tetapi diri sendiri. Terimalah hakikat bahawa kita perlu hidup dalam norma baharu.

MUHAMAD MAT YAKIM – HARAKAHDAILY 5/5/2021

- Advertisement -