Pemuda PAS-Umno bermuafakat santuni warga

- Advertisement -

BENTONG: Pemuda PAS Kawasan Bentong bersama Pemuda Umno Bahagian Bentong telah mengadakan program Edaran Bubur Lambuk Muafakat Nasional bertempat di Bazar Ramadan Padang Tras, Bentong, di sini kelmarin.

Program yang bermula pada jam 5 petang itu dipimpin Ketua Pemuda PAS Bentong, Muhammad Naqib Sahimi dan gandingannya, Ketua Pemuda Umno Bentong, Dato’ Ekmal Hamid bin Zakaria.

- Advertisement -

Sebanyak 200 pek bubur lambuk telah berjaya diagih-agihkan dan peluang ini telah digunakan sebaik mungkin oleh kedua-dua Ketua Pemuda Muafakat Nasional Bentong menyantuni warga penduduk dan peniaga.

“Bulan Ramadan adalah bulan yang mulia, mulia juga dari segi tindakan kita. Kami tampil hari ini untuk menyumbangkan makanan kepada orang yang berpuasa dan ia merupakan amalan mulia tuntutan agama.

“Program ini juga ibarat serampang dua mata bertujuan menyampai mesej kepada masyarakat bahawa tiada ura-ura memutuskan Muafakat Nasional di Bentong, malah hubungan kami masih erat dan perkasa dan akan terus diperkasakan,” ulas Naqib.

Pemuda PAS Bentong katanya, sedang giat melaksanakan program berbentuk kebajikan sebegini seperti menziarahi penduduk miskin di khususnya DUN Ketari dan badan-badan kerajaan mahupun swasta seperti kakitangan Alam Flora.

“Alhamdulillah, ada beberapa NGO seperti Pertubuhan Kebajikan dan Prihatin Insan sudi berkolaborasi bersama Pemuda dalam misi bantuan ini dan insya-Allah kerjasama ini akan diteruskan di masa-masa akan datang,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 30/4/2021

- Advertisement -