Dasari hidup dan perjuangan dengan al-Quran

- Advertisement -

PAYA BESAR: Muslimat PAS Kawasan Paya Besar telah mengadakan majlis Tadarus Perdana bersempena Nuzul Al-Quran yang diadakan di Balai Purnama, Chendering, dekat sini semalam.

Program ini bertujuan mengukuhkan silaturahim mahabah di samping melakukan tadabbur al-Quran pada tarikh yang dipilih bertepatan dengan cuti Nuzul Quran pada Ramadan ini.

Ketua Muslimat PAS Paya Besar, Ustazah Norzilah Hussin turut hadir memberi tazkirah ringkas mengingatkan agar setiap pekerjaan yang dibuat mestilah berpandukan kepada al-Quran.

- Advertisement -

“Syukur kepada Allah S.W.T kerana memberi kesempatan kepada kita, mencampakkan kita berada di dalam jemaah yang sentiasa mendukung al-Quran. Dan menjadikan al-Quran sebagai kerja buat kita. 

“Ada sesetengah orang, al-Quran hanya untuk dibaca, atau al-Quran itu hanya digilapkan pada bulan Ramadan sahaja. Setiap apa kerja buat kita, mesti berpandukan kepada al-Quran. 

“Kita berada di tempat yang paling baik (majlis ilmu), yang tinggi di sisi Allah S.W.T, dan berada di bulan Ramadan al-Mubarak, jadi kita rebutlah peluang yang ada ini untuk kita melipat-gandakan pahala di sisi Allah S.W.T,” katanya.

Ustazah Norzilah juga berkesempatan menyuntik semangat untuk terus istiqamah di medan perjuangan bersama PAS dan beliau kongsikan bacaan al-Quran dari surah al-Hujurat ayat ke-9 dalam tazkirah ringkas itu. 

“Kita telah hampir dengan 10 Ramadan terakhir, jadi lipat gandakanlah masa, tenaga dan kerja buat kita. Kerja buat kita ini memanglah yang orang tak minat, tak suka, orang akan mencari pelbagai alasan untuk tidak terlibat sama, untuk tidak menyusahkan diri. 

“Kerja-kerja jemaah yang tidak mendapat mendatangkan ‘hasil yang lumayan’ dalam kehidupan kita di dunia. Memang susah, memang mendapat tekanan pelbagai tohmahan dan sebagainya. 

“Kadang-kadang kita sendiri yang rasa jiwa kita itu kecil untuk menonjolkan kehebatan Islam ini. Untuk kita mempromosikan PAS. Alhamdulillah, sekarang sudah ramai yang sedar betapa hebatnya YB-YB (wakil rakyat) kita, yang bekerja dan memberi sumbangan. 

“Ini kerana mereka ada sifat amanah. Jadinya, banyak sumbangan-sumbangan yang boleh diberikan kepada masyarakat. Lebih menyeluruh. Respond masyarakat juga sangat baik kepada YB kita (PAS). 

“Mudah-mudahan, jika Ramadan ini kali terakhir, biarlah merupakan yang terbaik dan diterima oleh Allah S.W.T segala amalan kita,” ujar Ustazah Norzilah diakhir ucapan beliau.

Turut hadir ialah isteri ADUN Panching, Rosmawati Bohari dan Pengarah Pilihanraya Muslimat Paya Besar, Aminah Othman serta Ketua Assabiqat Muslimat Paya Besar, Maznun Ishak.

Juga Ketua Penerangan Muslimat DUN Panching, Nora Ahmad dan Ketua Assabiqat Muslimat DUN Panching, Siti Zaliah Sheikh Mahmood.

Tadarus Perdana turut diadakan di dua tempat lainnya mengikut DUN iaitu Sungai Lembing bertempat di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sungai Lembing, Tanjung Pasir, dan Lepar bertempat di Tadika Permata Ibu, Seri Fajar. – HARAKAHDAILY 30/4/2021

- Advertisement -