Hubungan Muafakat Nasional tetap dipertahan

- Advertisement -

TUMPAT: PAS Kelantan menundakan menyuarat Muafakat Nasional (MN) dengan Umno minggu hadapan kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di beberapa jajahan di negeri itu.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS negeri, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, pertemuan dijadual diadakan Isnin ini bagi mengeratkan hubungan antara parti dalam MN.

“Pertemuan itu lebih menumpu untuk menyelesaikan salah faham antara kedua-dua belah pihak yang muncul akhir-akhir ini dan bukan mengenai pembahagian kerusi.

- Advertisement -

“Kami mahu memastikan hubungan kedua-dua pihak di negeri ini dapat dijaga.

“Berkaitan (pembahagian kerusi) telah diputuskan oleh presiden dalam kenyataannya baru-baru ini,” kata beliau ketika ditemui selepas menghadiri kempen pendaftaran vaksinasi Covid-19 dari rumah ke rumah di Kampung Baru Nelayan hari ini.

Presiden PAS Dato’ Seri Abdul Hadi Awang hari ini menjelaskan perundingan kerusi antara PAS dan Umno ditangguh bagi memberi ruang kepada Umno menyelesaikan masalah dalaman parti itu.

Menurutnya perbincangan akan diteruskan setelah Umno menyelesaikan masalah dalamannya dan PAS akan mengekalkan kerjasama dengan Umno melalui MN.

MN dibentuk pada 14 September 2019 dengan melahirkan Piagam Muafakat Nasional yang mengandungi empat teras termasuk memperkukuhkan Muafakat Nasional melalui amalan musyawarah yang melibatkan pelbagai latar agama, kaum dan budaya demi kepentingan negara.

Usaha mewujudkan MN digerakan selepas kedudukan Melayu, Islam dan Raja-raja Melayu tercabar pada era pentadbiran Pakatan Harapan. – HARAKAHDAILY 16/4/2021

- Advertisement -