Tadarus eratkan PN dan MN Tambun

- Advertisement -

TAMBUN: Majlis Tadarus Al-Quran anjuran Muslimat PAS Tambun bukan sahaja bertujuan mengimarahkan Ramadan, namun ia juga sebagai simbolik mengukuhkan ukhwah Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN).

Demikian kenyataan dijelaskan Ketua Muslimat PAS Kawasan Tambun, Yusmaliza Yusof ketika menyampaikan ucapan alu-aluan di majlis Tadarus Al-Quran bertempat di Pusat Tarbiyah PAS Taman Meru, di sini, semalam. 

- Advertisement -

“Saya berharap dengan penyatuan silaturahim seperti hari ini kita sama-sama dapat merancang program-program kebajikan bagi menjuarai isu-isu rakyat khususnya di Tambun ini,” ulasnya. 

Di kesempatan itu, Yusmaliza yang juga merupakan Bendahari Dewan Muslimat PAS Negeri Perak turut memperingatkan seluruh hadirin yang hadir agar masing-masing memiliki niat yang tulus dalam berpolitik iaitu kerana Allah. 

“Kita perlu muhasabah. Betulkanlah niat kita untuk berpolitik, mengapa kita berada dalam PAS, dalam Umno dan Bersatu? Apabila kita betulkan niat kerana Allah, Allah akan tunjukkan jalan untuk kita membantu rakyat.

“Bukan itu sahaja, malah tentunya kita dapat membantu pemimpin untuk menjaga agama, bangsa dan negara. Kerana itu (maka) perlu adanya muafakat sesama kita dalam suasana politik hari ini. Inilah yang perlu diterapkan,” terangnya lagi.

Hadir sama dalam majlis itu, Ketua Wanita Umno Bahagian Tambun, Surai Hussin, Timbalan Ketua Serikandi Bahagian Tambun, Norhamalini Ahmed serta semua wakil pimpinan yang lain. – HARAKAHDAILY 27/4/2021

- Advertisement -