Makan ubat tahan haid untuk puasa penuh

Ustaz Azhar Idrus
- Advertisement -

Soalan:

Adakah harus bagi seorang wanita mengambil seperti ubat yang dapat melewatkan kitaran haid bulanannya sehingga dapatlah ia berpuasa sebulan Ramadan?

Jawapan:

Ketahuilah bahawa yang afdal bagi kaum perempuan itu ialah berpuasa ketika dia suci dan meninggalkannya ketika dia haid dan tidak memakan ia akan ubat untuk menahan dari haidnya itu.

Telah diriwayatkan daripada Aisyah r.a. berkata:

كُنَّا نَحِيضُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ثُمَّ نَطْهُرُ فَيَأْمُرُنَا بِقَضَاءِ الصَّوْمِ وَلاَ يَأْمُرُنَا بِقَضَاءِ الصَّلاَةِ ‏

Ertinya: “Adalah kami kaum perempuan telah berhaid pada zaman Rasulullah SAW kemudian kami suci lalu baginda memerintahkan kami dengan qadakan puasa dan tidak memerintahkan kami dengan qadakan solat.” (Hadis riwayat An-Nasaie)

- Advertisement -

Walau bagaimanapun sebahagian fuqahak mengharuskan bagi orang perempuan makan ia akan ubat penahan haid sama ada jenis pil atau cecair supaya dapat dia berpuasa selama sebulan di dalam bulan Ramadan dan qada ia selepas daripada itu.

Berkata Imam Ibnu Quddamah:

رُوِيَ عَنْ أَحْمَدَ – رَحِمَهُ اللَّهُ -، أَنَّهُ قَالَ: لَا بَأْسَ أَنْ تَشْرَبَ الْمَرْأَةُ دَوَاءً يَقْطَعُ عَنْهَا الْحَيْضَ، إذَا كَانَ دَوَاءً مَعْرُوفًا.

Ertinya: “Telah diriwayatkan daripada Imam Ahmad sungguhnya beliau berkata: Tidak mengapa bahawa diminum akan ubat oleh seorang perempuan supaya memutuskan dari perempuan itu akan darah haidnya apabila adalah ubat itu yang elok.” (Kitab Al-Mughni)

Dan berkata Imam Al-Buhuthi Al-Hanbali:

يجوز شرب دواء مباح لقطع الحيض مع أمن الضرر

Ertinya: “Boleh makan ubat yang diharuskan bagi memutuskan darah haid serta mestilah aman (selamat) dari kemudaratan.” (Kitab Kasyful Qina’)

Dan disyaratkan bahawa ubat yang digunakan itu ialah ubat yang suci dan hendaklah pengambilan ubat atau pil itu tidak memberi kesan buruk kepada kesihatannya atau nyawanya atau tubuh badannya.

Telah berkata Mufti Negeri Mesir Dr Ali Jumaah:

نعم، يجوز لها ذلك شرعًا، بشرط أن يقرر الطبيب أنه لا ضرر عليها فيه، إلا أن وقوفَها مع مراد الله تعالى، وخضوعَها لما قدَّره الله عليها من الحيضِ ووجوبِ الإفطار أثناءه، أثوبُ لها وأعظمُ أجرًا.

Ertinya: “Ya diharuskan bagi perempuan itu mengambil ubat penahan haid itu pada syarak dengan syarat diakui oleh pakar perubatan bahawa ubat itu tidak mendatangkan sebarang mudarat ke atas perempuan itu. Akan tetapi jika perempuan tersebut mengikut sahaja kehendak Allah Taala dan dan berserah kepada barang telah diqadarkan oleh Allah atasnya daripada haid maka ia lebih berpahala baginya dan lebih banyak mendapat ganjaran.” (Darul Ifta Mesir)

Maksudnya perempuan yang tidak memakan akan ubat penahan haid dan dia berpuasa ketika suci dan tidak berpuasa ketika haid maka itulah yang paling baik kerana menjalani fitrah seorang perempuan yang telah ditetapkan oleh Allah.

Tersebut pada Himpunan Fatwa Mufti Jordan:

يجوز للمرأة شرب الدواء الذي يؤخر عنها الحيض، خاصة إذا وجدت الحاجة الشرعية إليه، كالخوف من عدم انتظار الرفقة في الحج والعمرة إذا ما تأخرت بسبب الحيض، والحرص على أداء الصيام في شهر رمضان.

Ertinya: “Harus bagi orang perempuan makan ia akan ubat yang melambatkan datang haid istimewa pula jika didapatkan keperluan syarak kepadanya seperti takut teman-teman sekumpulan tidak dapat menunggu pada masalah haji dan umrah apabila jadi terlambat ia sebab haid dan sebab menggemarkan kepada menunaikan puasa pada bulan Ramadan.”

Dan tersebut pada himpunan fatwa Baitil Maqdis:

يجوز تناول الحبوب التي تؤخر الحيض ما لم يترتب على تناولها ضرر

Ertinya: “Harus mengambil akan pil yang melambatkan datang haid selama tidak ada memakan pil itu mendatangkan mudarat.” (Darul Ifta Baitul Maqdis)

Dan adalah diriwayatkan bahawa Imam Malik memakruhkan perbuatan memakan ubat kerana melambatkan datang haid.

Berkata Imam Ibnu Rusydi:

سئل مالك عن المرأة تخاف تعجيل الحيض، فيوصف لها شراب تشربه لتأخير الحيض؟ قال: ليس ذلك بصواب، وكرهه. قال ابن رشد: إنما كرهه مخافة أن تدخل على نفسها ضررا بذلك في جسمها

Ertinya: “Telah menyoal akan Imam Malik oleh seorang perempuan yang takut akan kedatangan haid dan perempuan ini diberitahu tentang ubat yang dimakan untuk melambatkan datang haid. Berkata Imam Malik: Bermula yang demikian itu tidak betul dan memakruhkannya. Berkata Ibnu Rsuydi: Hanya sungguhnya Imam Malik memakruhkannya kerana takut berlaku pada diri perempuan itu mudarat dengan sebab makan ubat itu pada tubuh badannya.” (Kitab Mawahibul Jalil)

Dan jika tiada ubat yang suci maka tidak harus yakni haram makan ubat yang najis untuk melambatkan haid kerana melambatkan haid itu tidak termasuk darurah yang boleh merbahayakan nyawanya atau tubuh badannya. Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 27/4/2021

- Advertisement -