Ramadan: Jangan termasuk kalangan yang rugi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bulan Ramadan diberikan kelebihan dengan dicucuri rahmat Allah SWT, diberikan keampunan-Nya daripada dosa-dosa kecil dan pembebasan daripada api neraka.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Allah SWT membuka pintu syurga untuk mereka yang menghayati Ramadan dan menutup pintu neraka.

Katanya, Mereka layak mendapat keampunan, rahmat Allah SWT dan pahala yang besar, serta penghapusan dosa pada bulan yang mulia ini.

- Advertisement -

Jelas beliau, di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: Sembahyang lima waktu, amal soleh dari Jumaat ke Jumaat dan dari bulan Ramadhan ke Ramadhan menghapuskan dosa antara dua tempoh itu apabila meninggalkan dosa besar.

Tambahnya lagi, di dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Hakim, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: Dijauhkan daripada rahmat Allah kepada sesiapa yang berada dalam bulan Ramadhan, lalu tidak mendapat peluang keampunan Allah kerana tidak beribadat.

“Marilah kita merebut peluang dan rezeki berada dalam bulan Ramadan yang mulia ini sebaik-baiknya demi mengejar rahmat, redha, dan maghfirah-Nya.

“Usah biarkan diri kita termasuk dalam kalangan mereka yang rugi disebabkan mensia-siakan kesempatan yang ada, lantas tidak diampunkan dosa oleh-Nya,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang menerusi laman Facebook beliau, kelmarin. – HARAKAHDAILY 25/4/2021

- Advertisement -