SOP dan budi bicara

- Advertisement -

SAYA mengikuti perkembangan isu penuntut IPT yang dikenakan tindakan kompaun oleh KKM. Ketua Pengarah Kesihatan juga sudah meminta siasatan dilakukan susulan tular isu tersebut. Malangnya sebuah portal pembangkang mengelirukan isu dengan kenyataan kononnya YB Akmal menyokong tindakan tersebut sedangkan laporan Sinar Harian jelas bahawa beliau mengharapkan isu itu ditangani secara bijak dan seimbang. Itu reaksi spontan beliau kepada wartawan sebelum mendengar penjelasan pihak tebabit.

Saya yakin YB Akmal akan mengambil kesempatan mendapatkan gambaran sebenar demi keadilan. Undang-undang dicipta untuk mengawal dan mendidik manusia. Di dalam Islam undang undangnya dilihat keras dan zalim oleh mereka yang tidak memahami roh Undang-undang Islam. Namun di sudut pelaksanaan dan penguatkuasaan ia dipenuhi keadilan sesuai Islam sebagai rahmat kepada seluruh alam. Hanya orientalis dan musuh Islam yang memutarbelitkan pelaksanaan Undang-undang Islam sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan.

- Advertisement -

Di dalam sejarah Islam Saidina Umar pernah menangguhkan hukuman kepada pesalah mencuri di saat negara berdepan kemarau dan isu ekonomi. Hukuman mesti wujud dan berjalan namun di sudut pelaksanaan ia dipenuhi budibicara dengan menilai matlamat maslahah.

Sebagai kerajaan, ia ibarat seorang ayah yang mendidik anak-anaknya. Setiap kesalahan mesti diambil tindakan untuk menjaga masa depan dan kebaikan keluarganya. Namun seorang ayah tidak pernah berniat mendenda dan menyusahkan anak anaknya. Ada ketika ia memukul anaknya di hadapan anak yang lain namun di waktu malam ia menyapu ubat tanda kasihnya. Itu yang saya rasai dari kasih seorang ayah dan ibu yang mendidik saya.

Kita berharap semua pihak dapat mematuhi SOP yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa. Namun dalam masa yang sama juga berharap agar pihak berkuasa menggunakan budi bicara dalam melaksanakan tindakan. Hukuman di dalam Islam lebih kepada nasihat dan pengajaran. Ia dilaksanakan dan dikuatkuasakan kepada mereka yang degil dan mencabar undang-undang. 

Semoga semua pihak mematuhi undang-undang demi keselamatan rakyat dan negara. Peperangan kita belum berakhir. Kita mesti berwaspada setiap masa. Sebagai ayah, kerajaan tentunya akan santuni setiap perkara dengan wajar dan kasih sayang. Kerajaan ingin mendidik dan membentuk norma baru kepada rakyat menghadapi kemelut panjang virus COVID-19. Rela atau tidak… Kita terpaksa hadapi kenyataan yang ada, bukan lari dari kenyataan dengan kenangan masa lalu tanpa COVID-19.

Dosa pengulas

Semenjak dua menjak ini saya lihat banyak sangat isu saman menyaman dan komen pasal saman. Sememangnya rakyat Malaysia ini minat mengulas. Cuma kadang-kadang kebanyakannya mengulas ulasan dan bukan isu atau peristiwa.

Mengulas ulasan ialah mengulas ulasan orang lain terhadap sesuatu peristiwa. Biasanya ia akan bertambah-tambah dengan pelbagai komen ulasan. Akhirnya isu sebenar telah hilang sedangkan isu asal jauh dari ulasan atas ulasan.

Sekeping gambar diulas oleh beberapa lapis ulasan dan akhirnya kalau diminta seorang pelukis melukis semula gambar dari ulasan mungkin seekor musang yang makan anak ayam menjadi seekor anak ayam makan musang atau seekor musang menternak ayam.

Kita diajar sebagai Muslim untuk menyelidiki setiap berita. Surah Hujurat membincangkan tertib dan kaedah menerima berita sebelum bertindak. Cerita yang tak pasti di sebelah pihak akhirnya jadi satu keadaan macam WTC di Amerika runtuh sedangkan asalnya hanya berita artis melahirkan anak.

Kita diajar bercakap baik atau diam . Kita diajar meninggalkan perkara yang tidak berkaitan kita (atau kepentingan umum). Namun semua perkara itu diabaikan seakan kita tidak pernah mendengar sebarang panduan agama.

Dalam kes melibatkan dua pihak, sewajarnya pandangan dan cerita keduanya didengari sebelum membuat ulasan bersifat hukuman. Sebagai contoh… Yang di saman dan menyaman. Apa yang berlaku dalam masyarakat kita, ukurannya ialah sejauh mana menyentuh “perasaan” kita. Kadang kadang kerana hubungan kita, kadang-kadang kerana gender, mungkin juga kerana bangsa atau kita memang pengulas bebas yang sedang berlatih mengulas ulasan demi ulasan.

Apa yang dibimbangi, kita pengulas yang menerima dosa lantaran ulasan yang membuahkan fitnah. Benarlah panduan Islam. Mendiamkan diri dari perkara yang tidak kita ketahui adalah lebih utama. Penyaman dan yang kena saman kadang-kadang boleh menyelesaikan masalah mereka secara damai dan tolak ansur… Sedangkan kita pula yang menanggung akibat hingga akhirat. Semoga Ramadan mampu mengikat lidah dan jari kita dari bebas tanpa sempadan dunia akhirat. 

FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha Politik
Pesuruhjaya PAS Perak – HARAKAHDAILY 22/4/2021

- Advertisement -