Kemahiran kedoktoran, peralatan moden dan berkat doa

Lancarkan pembedahan jantung Nur Hana yang awalnya dijangka sukar

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH, Nur Hana sudah dipindahkan dari CICU ke wad pemulihan selepas pembedahan jantung (A1). Keadaannya stabil dan masih memerlukan antibiotic dan sokongan pergerakan. Keseluruhan proses pembedahan Nur Hana dirakam oleh juruteknik pembedahan. Saya berkesempatan menonton keratan-keratan video tersebut di bilik juruteknik pembedahan sebentar tadi, satu hal yang jarang dilakukan oleh ibu bapa pesakit. Kata Doktor, amat jarang sekali waris yang ada kesanggupan melihat proses pembedahan. 

Pada sangkaan saya sebelum ini, jantung akan dikeluarkan dari badan untuk dibedah ‘dalam pinggan’ bagi penampal lubang di dinding antara ‘bilik A dan bilik B’ di dalam jantung. (Ini anggapan yang silap – itu hanya berlaku dalam prosedur penggantian sebuah jantung).

- Advertisement -

Sebenarnya ia tidak begitu. Memang ada dua ‘bukaan’ dibuat oleh pakar bedah, pertama pada tulang rangka dada pesakit dan kedua pada jantung. Jantung tetap di tempatnya, hanya tugas mengepam darah sewaktu tampalan dibuat diambil alih oleh mesin melalui beberapa saluran paip ‘keluar masuk’ yang dipasang oleh pakar bedah.

Prosedur yang biasanya memakan masa 3-5 jam itu berjalan dengan lancar walaupun lubang pada jantung Hana agak tersorok hampir dengan kedudukan injap. Tampalan yang dijahit bagi menutup lubang itu adalah sejenis tisu lembut daripada lembu.

Kata doktor, dalam kes Hana, selain pengalaman, kemahiran kedoktoran dan peralatan moden, berkat doa orang ramai tidak dapat dinafikan. Ia berjalan lancar walaupun awalnya dijangka agak sukar. Alhamdulillah! Semoga Nur Hana segera pulih dan sembuh berkat doa saudara-mara, sahabat, rakan-rakan dan orang ramai. Terima kasih semua!

Satu hal yang dirahsiakan oleh pakar bedah, terutama daripada pengetahuan isteri mereka ialah kemahiran menjahit. Halus dan kemas, tiada kompromi. Terima kasih Doktor! Hospital Besar Pulau Pinang melakukan 600 pembedahan jantung setahun – 2 atau 3 kes sehari melibatkan pesakit dari Pulau Pinang, Perak, Kedah, Perlis malah dari Sabah juga.

Saya berazam Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar juga akan memiliki fasiliti pembedahan jantung yang serupa dengan Hospital Besar Pulau Pinang sedikit masa lagi – Insya-Allah.

YAB MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Menteri Besar Kedah – HARAKAHDAILY 22/4/2021

- Advertisement -