Pelaburan RM2.2 bilion berjaya ditarik ke Kedah Rubber City

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kedah Rubber City (KRC) menarik komitmen pelaburan lebih RM2.2 bilion bagi produk berasaskan lateks, pengeluaran bahan mentah, pembuatan, penyimpanan dan gudang, serta logistik meskipun dibelenggu kelembapan ekonomi disebabkan pandemik COVID-19.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dalam satu kenyataan hari ini berkata KRC merupakan destinasi menarik bagi perniagaan dalam sektor peralatan perubatan, terutamanya pengeluar sarung tangan perubatan yang berminat untuk memperluaskan operasi syarikat.

“Saya gembira melihat prestasi ditunjukkan oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) di mana pelaburan yang diluluskan sebanyak RM6.8 bilion setakat suku pertama 2021 telah melebihi sasaran pelaburan yang diluluskan untuk Kedah tahun ini lebih daripada 20 peratus,” katanya.

- Advertisement -

Muhammad Sanusi juga berkata faktor seperti bahan mentah yang boleh diperoleh dengan mudah serta potensi perdagangan sempadan dengan Thailand merupakan tarikan tambahan bagi pemain industri getah untuk melabur di KRC.

Beliau menjangkakan lebih daripada 4,500 pekerjaan akan diwujudkan bagi penduduk tempatan yang akan memberi kesan positif kepada pembangunan sosioekonomi di Kedah.

Sementara itu, Ketua Eksekutif NCIA Datuk Seri Jebasingam Issace John berkata dihubungkan dengan rantaian nilai industri getah Malaysia, KRC adalah taman perindustrian getah khusus pertama di negara ini yang akan mempercepatkan pembangunan industri getah Malaysia untuk menjadi hab pembuatan getah bernilai tinggi serantau di ASEAN.

“Melalui program bersepadu modal insan NCIA dan peningkatan ekonomi serta ekosistem tenaga kerja di Kedah, pelabur akan dapat memanfaatkan rantaian bekalan tenaga kerja mahir yang komprehensif serta memanfaatkan rangkaian yang wujud antara industri serta institusi pengajian tinggi,” katanya. 

KRC, dengan keluasan hampir 505.86 hektar, merupakan salah satu projek nasional di bawah Pelan Pembangunan Strategik 2021-2025 (SDP) Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Ia kini bersedia untuk menerima pelabur dengan penyiapan kerja-kerja infrastruktur asas di bawah Fasa Satu pembangunan KRC.

Dalam masa yang sama, pelabur akan mendapat akses ke bekalan bahan mentah utama bagi menghasilkan produk getah melalui pembinaan ladang tangki simpanan di Pelabuhan Pulau Pinang.

“Hab logistik yang lengkap dengan depot dan kemudahan pergudangan juga akan dibangunkan di KRC untuk melengkapkan ladang tangki simpanan itu.

“Pelabur-pelabur yang komited dijangka memulakan pembinaan kilang mereka pada suku keempat 2021 dan memulakan operasi kilang pada separuh kedua 2023,” kata Jebasingam. – BERNAMA

- Advertisement -