Tok Ketitir Tanjung Patani: Ulamak-umarak di medan jihad

- Advertisement -

TUAN Guru Haji Wan Muhammad yang lebih masyhur dengan gelaran Tok Ketitir Tanjung Patani adalah ulamak-umarak yang terkemuka di dalam sejarah Patani. Beliau hidup pada akhir abad ke-18 dan mungkin meninggal sekitar 1830-an. Beliau menjadi menteri dalam kerajaan pada zaman transisi iaitu ketika Sultan Muhamad dibunuh oleh Siam dalam perang pada 1786. 

Setelah itu, beliau turut menjadi pembesar pada zaman Tengku Lamidin menjadi raja, bersama-sama dengan Hulubalang Wan Mustafa, Tok Bendang Daya Tua. Menurut maklumat dari Patani, beliau adalah rakan sepeguruan Tok Perobok (Sheikh Wan Abdul Rahman) dan mempunyai kealiman yang setanding. Beliau juga hidup sezaman dan berkawan dengan Sheikh Daud al-Fathani dan Sheikh Abdul Samad al-Falembani. Namun, kerana pelantikan beliau sebagai menteri dalam Kesultanan Patani, beliau tidak begitu menonjol dalam dunia pendidikan pondok.

- Advertisement -

Pada 1830-an, kerana kekalahan Patani di tangan Siam, beberapa ulamak telah berhijrah ke Kelantan seperti Sheikh Mohammad Nur Merbol (Tok Merbol), Tuan Pengkalan Tangga dan Tok Ayah Tok Imam Semerak. Mereka menjejaki pergerakan Sheikh Daud al-Fathani, Tok Sheikh Qadhi, Sheikh Abdul Qadir Bukit Bayas dan Sheikh Wan Hassan Besut yang berhijrah ke Terengganu. Tuan Pengkalan Tangga dan Tok Ayah Tok Imam adalah cucu-cucu kepada Tok Ketitir Tanjung Patani yang berhijrah ke Kelantan dan menggerakkan dakwah dan pendidikan yang berpusat di Kampung Lembah, Pasir Puteh, Kelantan.

Dari keturunan Tok Ayah Tok Imam, saya telah dilahirkan sebagai generasi kelapan Tok Ketitir Tanjung Patani. Semoga kami dapat melanjutkan perjuangan Tok Ketitir dalam jihadnya mempertahankan kemerdekaan Patani sejak 1780-an hingga awal abad ke-19. Begitu juga perjuangan beliau dalam dakwah dan pendidikan melalui institusi pondok. Allahumaghfirlahu

Wan Yusoff Ab Hamid, sahabat saya dari Kampung Berangan, Selising adalah berasal dari keturunan Tok Merbol melalui Tok Wan Aras, yang dikatakan juga bertalian darah dengan Tok Ketitir Tanjung Patani. Antara keturunan Tok Merbol yang terkemuka ialah Sheikh Wan Muhammad Perak (bekas Mufti Perak) dan Qadhi Haji Wan Hassan (bekas Qadhi Besar Kekantan).

MOHD FADLI GHANI – HARAKAHDAILY 13/4/2021

- Advertisement -