Ulamak-ulamak dahulu ilmunya berkat

- Advertisement -

MALAM ini saya mengambil masa yang agak panjang memikirkan akhlak dan adab para ulamak-ulamak tua kita. Maka tidak hairan jika ilmu mereka sangat berkat. Berbekas dalam hidup mereka dengan kesan-kesan akhlak itu. Antara yang masih saya ingat:

1. Anak-anak pondok tidak akan berpindah belajar di tempat lain tanpa kebenaran dan izin Tuan Guru. Restu guru sangat dijaga. Kalau ada teman-teman mereka yang belajar di pondok lain mereka tidak akan mengajak pelajar itu belajar di tempat dia belajar. Begitu juga sebaliknya.

2. Mana-mana pelajar senior yang sudah boleh mengajar, tidak berani buka halakat pengajian tanpa izin Tuan Guru kerana menghormati gurunya.

- Advertisement -

3. Jika sudah lama belajar dan sudah ‘alim dan layak pula membuka pusat pengajian pondok sendiri, mereka tidak berani berbuat demikian sehinggalah ada saranan dari Tuan Guru. Setelah ada saranan begitu barulah mereka akan buka pondok sendiri. Biasanya mereka akan membangunkannya di lokasi yang jauh dari pondok Tuan Guru kerana tidak mahu dilihat bersaing dengan Tuan Gurunya.

4. Jika mereka belajar dan tinggal dalam kawasan pondok Tuan Guru, mereka tidak berani pergi mengajar di pondok lain tanpa izin dari Tuan Guru sendiri.

5. Jika ada pelajar dari pondok lain datang ke pondok mana-mana Tuan Guru. Maka pihak pondok yang kedua ini sukar menerima anak murid itu jika belum jelas keizinan dari Tuan Guru di pondok yang asal.

Itulah sebahagian dari adab dan akhlak yang saya saksikan sendiri dari ulamak-ulamak tradisional kita. Namun hal tersebut sudah hilang dari kehidupan pengajian kita sekarang. Hati manusia, hatta orang yang belajar agama pun sudah semakin kasar dan sukar menyelami hal-hal yang seni dan halus seperti itu.

Kadang-kadang ada yang merasakan mereka belajar lebih tinggi dari guru-guru mereka. Lalu merasakan mereka lebih hebat dan meremehkan guru-gurunya. Sebenarnya tanpa mereka sedari mereka sudah kehilangan suatu yang sangat besar dan bernilai iaitu keberkatan ilmu.

USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 3/3/2021

- Advertisement -