Tok Kenali: Pembangkit Serambi Makkah

- Advertisement -

TOK KENALI atau nama sebenarnya Muhammad Yusof Ahmad (1868-1833) adalah ulamak terbesar yang pernah dilahirkan di Kelantan. Beliau bukan sahaja mempunyai ratusan murid yang masyhur dan berpengaruh, tetapi beliau juga adalah seorang pembangkit kesedaran Islam yang ulung di Kelantan. Namanya masyhur di seluruh Nusantara dan Kota Suci Makkah kerana kegiatan ilmu, gerakan pembaharuan dan cetusan pemikiran politiknya.

Tok Kenali mendapat sentuhan ilmu di Kota Bharu di bawah bimbingan beberapa ulamak seperti Qadhi Haji Nik Wan Ismail, Tuan Padang, Tuan Guru Haji Ibrahim Sungai Budor dan lain-lain. Pada 1886, beliau naik ke Makkah dan menjadi murid kesayangan Sheikh Wan Ahmad al-Fathani. Beliau sempat belajar bersama-sama Dato’ Perdana Nik Mahmud dan Dato’ Laksamana Muhammad Mohd Said, yang kemudiannya menjadi tokoh-tokoh pentadbir yang penting di Kelantan.

- Advertisement -

Beliau pulang ke Kelantan pada 1909, setelah 22 tahun belajar di Makkah, iaitu setelah kewafatan gurunya pada 1908. Beliau mula membuka pondok pada 1911, diikuti oleh pengajaran beliau di Masjid Muhammadi pada 1913. Sejak itu, beliau mencipta nama dan menabur jasa bakti yang besar terhadap perkembangan pendidikan dan dakwah Islam di Kelantan, sehingga negeri ini dikenali sebagai Serambi Makkah. 

Di antara jasa besar Tok Kenali ialah:

I. Menubuhkan pondok di Kampung Paya (tapak Hospital USM sekarang), kemudian membuka Pondok Kenali yang sangat masyhur itu.

II. Mengasaskan halaqat pengajian di Masjid Muhammadi sehingga ia berperanan seperti Masjidil Haram di Makkah.

III. Mengasaskan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sebagai badan pentadbiran agama yang pertama di negara ini pada akhir 1915.

IV. Mengasaskan Sekolah Arab Majlis pada 1917 untuk menyusun semula sistem pendidikan agama bagi membolehkan pendidikan Islam bersaing dengan sistem pendidikan Barat yang diperkenalkan oleh penjajah.

V. Mengasaskan dan memimpin majalah Pengasuh pada 1918. Majalah ini sudah berusia 103 tahun, merupakan majalah paling lama bertahan di negara ini.

VI. Menubuhkan Jam’iyat al-‘Asriyah, iaitu sebuah perkumpulan separa politik Islam dan menjadi antara badan politik terawal di Kelantan pada 1915.

VII. Dan banyak lagi.

Untuk menelusuri sejarah hidup, ketokohan, pemikiran dan sumbangan Tok Kenali, tuan-tuan boleh membaca buku ‘Tok Kenali’ yang telah disusun oleh Baharin Ilias. Buku setebal lebih 400 muka surat ini asal adalah kompilasi tulisan-tulisan para pengkaji sejarah ulamak-ulamak yang terkemuka di negara ini seperti Ustaz Abdullah al-Qari Salleh, Ustaz Ismail Che Daud, Abdul Razak Mahmud dan Dato’ Yusof Zaki Yaakob. Antara artikel yang terkandung di dalam buku ini ialah tulisan Ustaz Abdullah al-Qari bertajuk ‘To’ Kenali: His Life and Influence’ yang pernah tersiar di dalam buku ‘Kelantan: Religion, Social and Politics in A Malay State’ susunan Prof William R. Roff. 

MOHD FADLI GHANI – HARAKAHDAILY 13/4/2021

- Advertisement -