Bertegas hapuskan judi

- Advertisement -

KEDATANGAN Ramadan Al-Mubarak sangat dinantikan oleh orang-orang beriman. Semangat Ramadhan bukan setakat menahan lapar dan dahaga, namun menahan diri dari melakukan maksiat dan dosa, adalah antara jihad yang besar.

- Advertisement -

Judi adalah satu cabang maksiat yang sangat jelas haramnya, sebaris dengan pengharaman arak dan bertenung nasib. Firman Allah S.W.T, bermaksud:

“Sesungguh arak, judi, berhala dan bertenung nasib dengan panah; adalah perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat untung.”
(Surah Al-Maidah: 90)

Mutakhir ini, wabak judi telah merebak dalam masyarakat. Di samping judi yang dilesenkan, kegiatan judi atas talian juga nampaknya semakin meluas serta tidak terkawal. Sebahagian masyarakat Islam dari semua peringkat umur telah dirosakkan dengan wabak judi. Terdapat kes kehancuran rumahtangga gara-gara ketagihan judi.

Rasulullah SAW bersabda, makdsudnya:

“Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubah dengan tangannya (kuasa). Jika tidak mampu, dengan lisannya. Dan jika tidak mampu lagi, dengan hatinya, maka sesungguhnya itulah selemah-lemah iman.”
(Hadis Riwayat Muslim)

PAS Kedah menyokong penuh kenyataan oleh YB Dato’ Najmi Ahmad selaku Exco Agama berhubung tindakan tegas terhadap umat Islam yang bermain judi.

Sampai masanya kini, dengan kuasa yang ada, premis judi jangan dibenarkan terus di negeri ini.

Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat memberi suri teladan terbaik menggunakan kuasa yang ada untuk tidak membenarkan premis judi beroperasi sejak 1990. Kini tiga dekad berlalu, Kelantan menjadi negeri bebas judi.

Semoga Allah memberi kekuatan kepada Kedah untuk merealisasikan tekad membasmi judi.

AHMAD BIN YAHAYA
Pesuruhjaya PAS Kedah
1 Ramadhan 1442
Alor Setar, Kedah.

- Advertisement -