‘Cukup-cukuplah kita berpecah’

- Advertisement -

KUALA NERUS: Hasrat dan matlamat PAS hari ini mahu melihat umat Islam di Malaysia bersatu mendukung kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan tidak berpecah lagi.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, hasrat PAS mahu umat Islam bersatu dan tiga parti dapat duduk bersama mendukung kerajaan ini.

“Cukuplah kita (umat Islam) ini pecah lama. Selama 50, 60 tahun kita berpecah. Hadapi pilihan raya ini (PRU15) mari kita duduk bersama dan kalau kita boleh duduk bersama dukung kerajaan (PN) yang ada ini.

“Kita tolak kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu dan rakyat seronok dengan perubahan yang berlaku, kita tidak boleh tinggalkan,” ujarnya.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Ekspedisi Sungai Nerus Negeri Terengganu Darul Iman, di Kampung Tanjung Sabtu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Buloh Gading, Kuala Nerus, hari ini.

Menurut Tuan Ibrahim, masih ada jalan dan ruang bagi Umno untuk berdamai dan mempertahankan Penyatuan Ummah.

“Bagi kami (PAS), jalan itu masih ada, ruang itu masih ada dan saya kenal kawan-kawan saya dalam Umno.

“Walaupun mereka meluahkan hasrat bahagian-bahagian (Umno) tapi muafakat, perbincangan terus berjalan.

“Kita kekal dengan asas yang kita buat sebagaimana yang Presiden PAS maklum, bahawa kita hendak supaya Penyatuan Ummah itu dipertahankan.

“Penyatuan Ummah itu sebagaimana digagaskan dalam Deklarasi Muafakat Nasional antaranya, kita sedia menerima mana-mana parti lain atau NGO-NGO (Badan Bukan Kerajaan) untuk bersama dalam Penyatuan Ummah,” jelasnya.

Justeru, kata beliau, PAS berpegang pada kaedah itu dan masih mempunyai hubungan dengan Umno dalam Muafakat Nasional.

“PAS dengan Umno, kita masih ada hubungan dan kita masih ada mesyuarat, Muafakat Nasional masih berjalan. Tetapi, di waktu yang sama PAS ini komponen Perikatan Nasional.

“Sebab itu, bila Setiausaha Agung PAS (Dato’ Takiyuddin) keluarkan kenyataan bersama dengan Setiausaha Agung Bersatu (Dato’ Seri Hamzah), itu sebenarnya normal, biasa sahaja.

“Orang rasa pelik sebab mungkin sebelum ini tidak pernah buat kenyataan. PAS memang bersama dalam Perikatan Nasional sebagai satu parti yang berdaftar. Jadi kalau kenyataan oleh dua setiausaha parti dalam Perikatan Nasional, itu biasalah,” ujarnya.

Ketika ditanya, adakah Muafakat Nasional (MN) masih boleh diselamatkan kata beliau, yakin sebab MN adalah kerangka ummah dan bukan hanya kerangka politik.

“Saya yakin, sebab MN bukan hanya kerangka politik (tapi) MN ialah kerangka umat (Ummah). Penyatuan umat mengatasi kerangka parti politik.

“Sebab itu dalam MN, kita libatkan NGO. Contoh, waktu (isu) ICERD. ICERD ini bukan parti politik, berpuluh, beratus NGO (terlibat) sama. Jadi, oleh kerana itu bagi kita (PAS), kerangka (MN) ini membesar dan lebih besar daripada yang ada, Insya Allah,” tegasnya.

Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Ridzuan Hashim dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ahmad Shah Mohamed. – HARAKAHDAILY 3/4/2021

- Advertisement -