Umno, Bersatu diyakini ada titik persamaan

- Advertisement -

PASIR MAS: PAS menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengesahkan semua menteri daripada Umno akan terus kekal berada dalam kabinet kerajaan sekarang.

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, sekiranya sebahagian menteri menarik diri kemungkinan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan lebih awal.

Katanya, fokus utama kerajaan Perikatan Nasional (PN) menangani wabak Covid-19 dan berusaha memulihkan semula ekonomi negara yang terjejas.

“Sanggupkah kita melihat rakyat terus terdedah kepada ancaman nyawa dengan Covid-19, sebab masa itu Perdana Menteri tiada pilihan selain membubarkan Dewan Rakyat bagi mengadakan pilihan raya.

- Advertisement -

“Jadi jadi baiklah kita teruskan sehingga selesai darurat dan Covid-19 menurun, bila tiba PRU15 nak bawa diri masing-masing tiada masalah,” katanya selepas majlis pra pelancaran Projek Solar Terapung dan pelancaran pengisytiharan Zon Industri Akuakultur di Danau Tok Uban, hari ini.

Turut hadir Timbalan Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar, Abdul Azziz Kadir dan Pengerusi Cypark Resources Berhad Tan Sri Razali Ismail.

Isnin lepas perdana menteri dilapor berkata, semua menteri daripada Umno akan terus berada dalam kabinet hasil kesepakatan yang dicapai.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, PAS sedang berusaha untuk menyatukan Bersatu dan Umno kerana yakin kedua-dua parti terbabit mempunyai titik persamaan.

“Secara peribadi saya percaya majoriti kepimpinan Umno dan akar umbinya lebih suka bagi ketiga-tiga parti Melayu dan Islam itu dapat duduk bersama.

“Cuma ada isu dalaman banyak tetapi pandangan saya ketiga-tiga parti Melayu terbabit boleh bersatu,” katanya.

Bagaimanapun beliau tidak mahu masuk campur dalam urusan berkaitan rumah tangga parti terbabit dan melihat dari jauh sambil berdoa dan berharap.

Ditanya mengenai gesaan supaya menteri Umno meletak jawatan beliau berkata, isu terbabit tidak timbul kerana Umno pernah membuat keputusan serupa sebelum Perhimpunan Agung Umno Ahad lepas.

Menurutnya keputusan yang dimaksudkan iaitu menyokong kerajaan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga Parlimen dibubarkann.

- Advertisement -