Rezeki terpijak jumpa Dato’ Awang Hashim – Zulafkar

- Advertisement -

UMPAMA rezeki terpijak dan durian runtuh, itu kata pemuda Melayu, Ahmad Zulafkar Razali kepada Harakah ketika ditanya mengenai perasaannya berhubung pemberian Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Awang Hasim, pada 24 Mac lalu.

- Advertisement -

Zulafkar merupakan seorang pemuda yang terlibat dalam ekonomi gig secara sepenuh masa dengan menjadi penghantar makanan Food Panda di ibu kota, Kuala Lumpur.

Beliau umpama terpijak rezeki apabila Ahli Parlimen Pendang itu tersentuh dengan kesungguhan Zulafkar gigih mencari rezeki menggunakan basikal dan menghantar makanan di sekitar Putra World Trade Centre (PWTC), Kuala Lumpur.

Awang Hashim pada 24 Mac berkongsi melalui Facebooknya telah menghadiahkan sebuah motosikal Modenas untuk kegunaan Zulafkar bagi memudahkan anak muda itu mencari rezeki.

“Saya amat tersentuh tempoh hari apabila ternampak beliau (Zulafkar) berbasikal ditengah terik matahari untuk menghantar makanan kepada pelanggan berdekatan PWTC.

“Saya minta pegawai saya mengambil maklumat beliau dan aturkan pertemuan saya bersama beliau untuk saya menghadiahkan sumbangan peribadi di Putrajaya pada hari ini.

“Zulafkar, 26 merupakan anak sulung daripada empat orang adik-beradik yang telah kematian bapa. Beliau yang juga bekas seorang pelajar cemerlang memilih untuk tidak menyambung pelajaran sebaliknya terus berkerja sebagai penghantar pesanan makanan demi mencari rezeki menyara keperluan ibu dan adik beradiknya,” jelas Awang melalui Facebook.

Melihat kepada hantaran Awang di Facebook, Harakah menghubungi beliau untuk dapatkan penjelasan lebih lanjut mengenai perkara tersebut.

Menurut Awang, ketika beliau memanggil Zulafkar untuk bertanyakan mengenai situasi anak muda itu, berdasarkan temubualnya, beliau merasakan Zulafkar seorang pemuda yang sangat rasioanal, tidak merayu dan amat pandai berdikari.

“Apbila kita tanya baru dia cerita, dia tak akan cerita benda-benda (masalah) yang dia sedang hadapi apa semua, kalau kita tidak tanya, dia tidak akan cerita.

“Jadi saya nampak dia seorang budak yang ada inisiatif dan usaha walaupun dengan basikal. Jadi saya ambil keputusan untuk bantu, saya beli motosikal, supaya dia boleh guna untuk cari pendapatan, sara adik-adik yang masih belajar, terutama musim pandemik Covid-19 sebegini” ujar Awang ketika dihubungi Harakah pada Khamis.

Beliau dalam masa sama turut menganggap bahawa peristiwa itu merupakan ketentuan Allah dan merupakan peluang untuk dirinya membuat kebaikan dan kebajikan membantu mereka yang memerlukan.

Menebual sendiri anak muda tersebut, ternyata apa yang disampaikan oleh Ahli Parlimen Pendang itu benar belaka, Zulafkar sememangnya hanya membuka kisahnya sekiranya ditanya.

Beliau tidak secara senang menceritakan sebarang kisah sedih mengenai hidupnya, hanya jalan dan usaha yang diceritakan sekiranya ditanya.

“Pada awalnya, memang saya terkejut, tidak sangka saya boleh jumpa Dato’ dan Dato’ terus nak bagi saya motor ini. Syukur, Alhamdulillah. Orang kata rezeki terpijak, durian runtuh,” ujarnya kepada Harakah pada Khamis.

Kata Zulafkar, sebelum ini beliau menyewa kereta untuk memandu Grab secara sepenuh masa, namun nasib turut tidak menyebelahinya jua apabila pemandu-pemandu Grab turut terjejas kesan daripada penularan pandemik Covid-19.

Oleh itu, beliau terpaksa memulangkan kenderaan tersebut dan mencebur diri di dalam Food Panda sebagai penghantar makanan secara berjalan kaki atau Pink Walker, Pejalan Kaki Panda.

Zulafkar berjalan kaki menghantar pesanan makanan selama lebih sebulan sebelum berjaya mengumpul wang untuk membeli basikal bagi tujuan sama.

Katanya, beliau pada masa sama sememangnya sedang mengumpul wang untuk membeli motosikal bagi tujuan sama selama lebih tiga bulan menghantar pesanan menggunakan basikal.

Alhamdulillah, rezeki tidak salah alamat, beliau mendapat perhatian Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Awang Hashim beberapa minggu lalu.

Ditanya sama ada pendapatan dan perolehan beliau mempunyai perbezaan ketara semasa mengayuh basikal dan menunggang motosikal kata Zulafkar, beliau masih belum dapat mengenal pasti memandangkan beliau baharu sahaja menerima motosikal tersebut pada Rabu.

Pendapatan Zulafkar sepanjang menjadi penghantar pesanan cukup untuk memenuhi keperluannya, namun beliau agak sukar untuk membuat simpanan jangka masa panjang, katanya.

Zulafkar merupakan pelajar lepasan Diploma Pengurusan Penghantar di sebuah kolej di Selatan Tanah Air. Beliau merupakan anak sulung daripada empat orang adik-beradik, dua daripadanya kini sedang melanjutkan pelajaran di universiti.

Beliau menetap di Selayang, Gombak dan berulang-alik setiap hari menaiki bas dan ‘train’ sebelum mengambil basikalnya di Keramat, kemudian menunggang basikal mendekati KLCC dan kawasan sekitarnya.

Ditanya sama ada beliau akan terus mencebur diri dalam bidang ekonomi gig, kata Zulafkar setakat ini beliau tidak terfikir untuk mencari kerja lain.

“Sebelum ini memang saya hendak sangat kerja, saya cari kerja, buat resume, apply banyak company, tapi tak dapat sebarang panggilan.

“Tapi selepas saya masuk dalam gig-ekonomi ini, saya mula minat, masa saya lebih fleksibel dan saya boleh manage pendapatan saya.

“Jadi saya rasa buat masa sekarang saya tidak terfikir untuk cari kerja, memang saya kira (setakat ini) saya akan stay dengan ekonomi gig,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 31/3/2021

- Advertisement -