Menteri Umno kekal dalam Kabinet penting

Penasihat Agama Ketua Menteri Melaka
- Advertisement -

AYER KEROH: PAS Negeri Melaka menyambut baik keputusan menteri daripada Umno untuk terus kekal berada dalam Kabinet.

Pesuruhjayanya, Datuk Ustaz Kamarudin Sidek berkata persetujuan kekal dalam Kabinet adalah sesuatu yang penting dalam memastikan usaha untuk mengatasi Covid-19 dapat berjalan lancar.

Ini, katanya memandangkan kebanyakan portfolio penting dalam kerajaan pada masa ini dipegang oleh menteri-menteri daripada kalangan Umno.

- Advertisement -

“PAS Melaka percaya bahawa agenda penyatuan ummah melibatkan ketiga-tiga parti iaitu PAS, Bersatu dan Umno, juga rakan parti-parti sekutu yang lain sangat penting untuk memastikan orang-orang Melayu tidak hilang kuasa di tanah air sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menyatakan demikian susulan kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memaklumkan kesepakatan telah dicapai bahawa semua menteri daripada Umno akan terus berada di dalam Kabinet.

Muhyiddin berkata menteri-menteri daripada Umno telah menemui beliau pada Isnin lalu.

Menurutnya, mereka meminta nasihat beliau mengenai kedudukan mereka di dalam Kabinet berikutan keputusan Perhimpunan Agung Umno bahawa parti itu akan memutuskan hubungan dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Kamarudin berharap kerjasama itu akan terus kekal demi untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang kuat dan stabil.

“Kami sentiasa berdoa agar kerjasama ini akan terus kekal selama-lamanya demi untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang kuat dan stabil pada masa kini dan akan datang,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 31/3/2021

- Advertisement -