Persekutuan perlu hormati bidang kuasa negeri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan perlu menghormati bidang kuasa negeri, kata Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ustaz Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

Beliau berkata, ini susulan ada pihak yang menyampaikan pandangan agar digubal sahaja undang-undang yang berkaitan dengan agama dan ‘paksa’ negeri untuk menerimanya.

“Selalu orang sampaikan pandangan mereka pada saya, agar kami gubal sahaja undang-undang yang berkaitan dengan agama dan ‘paksa’ negeri untuk terima, tak perlu sampai nak runding-runding.

“Katanya, lebih mudah untuk Kerajaan Persekutuan, kerana kita tidak perlu berunding dengan negeri-negeri dan tidak timbul kemudiannya isu undang-undang yang berbeza antara setiap negeri,” ujarnya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau, malam tadi.

- Advertisement -

Beliau menjelaskan bahawa tidak berbuat demikian kerana Kerajaan Persekutuan perlu menghormati bidang kuasa negeri sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kita perlu ingat bahawa, kuasa yang ada pada Kerajaan Persekutuan hari ini datang daripada kuasa yang diserahkan oleh Raja-raja Melayu ketika proses rundingan pembentukan Perlembagaan Persekutuan,” tambahnya.

Ahli Parlimen Pengkalan Chepa berkata, Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu berjaya ditubuhkan hanya apabila semua pihak yang terlibat dalam rundingan bersetuju antaranya bahawa Islam adalah urusan negeri-negeri.

Oleh sebab itulah, ujar beliau Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 yang merupakan inti pati perjanjian antara Persekutuan dan negeri dalam hal berkaitan agama Islam perlu dipatuhi dan dihormati oleh semua pihak.

“Hal ini termasuklah dalam perkara yang berkaitan dengan bidang kuasa Mahkamah Syariah,” katanya.

Pada masa yang sama, ujarnya lagi Kerajaan Persekutuan juga mempunyai peranannya yang tersendiri dalam memperkasa kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Atas dasar inilah, kita akan terus mencari ruang untuk mengharmonikan peranan dan bidang kuasa antara Persekutuan dan Negeri dalam hal ehwal Islam.

“Proses penyeragaman juga kita cuba usahakan melalui jalan yang dipersetujui kedua-dua pihak, dan sebenarnya banyak yang sudah kita capai dengan cara yang harmoni, alhamdulillah.

“Jika ada kesempatan, mungkin saya boleh kongsikan mengenai kejayaan dan usaha berterusan yang kita telah lakukan dalam mengurangkan ketidakseragaman undang-undang Syariah,” jelas beliau. – HARAKAHDAILY 31/3/2021

- Advertisement -