Pengulangan dan konsisten dalam pendidikan

- Advertisement -

‘MUALLIMAHTik Tok itu tak elok hanya untuk budak kecil sahaja ke? Orang besar boleh ya?’ Satu persoalan pernah terbit dari seorang murid cilik. Masakan tidak, di sekolah dia diberitahu berulang-ulang kali bahawasanya menari dan melenggok-lenggok badan menggunakan aplikasi Tik Tok itu tidak baik. Walhal di rumah perkara tersebut seolah dibenarkan. 

Anak cilik itu keliru. Di sekolah dia belajar 1+1=2. Di rumah, diajar 1+1=3. Begitu juga sebaliknya. Jika hal ini berterusan, agaknya bilakah dia akan betul-betul memahami konsep sebenar ‘betul’ atau ‘salah’? Mendalami sebenar ilmu 1+1?

- Advertisement -

Konsistensi

Dalam pendidikan, kanak-kanak belajar menggunakan kaedah ‘rehearse’ and ‘relearn.’ Atau bermaksud pengulangan dan konsisten.

Apabila mereka belajar perkara tersebut adalah salah secara berulang kali, dalam mana jua situasi dan dibentuk oleh persekitaran yang mengakui idea tersebut maka mereka boleh mendapat kefahaman yang tidak akan berubah.

Tidak kira ilmu agama, akademik, akhlak, disiplin ataupun konsep moral (salah dan betul) perlu dididik secara konsistensi sehingga ia dapat difahami dengan baik.

Fasa tarbiyah dan disiplin

“Suruhlah anak kamu mengerjakan sembahyang apabila berumur 7 tahun, dan pukul lah mereka (jika mereka enggan) apabila berumur 10 tahun, dan asingkan tempat tidur mereka.”

(Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Menurut teori Piaget, pada umur 8-11 tahun merupakan fasa pembentukan disiplin bagi kanak-kanak. Hal ini kerana mereka masih belum memiliki fleksibiliti mental yang baik. Iaitu masih rigid dalam kaedah berfikir.

Malang apabila pada fasa ini, fokus pendidik terlalu berlebihan terhadap akademik menyebabkan tuntutan keperluan lain terabai.

Komuniti

Dalam sesebuah institusi pendidikan atau sekolah perlu mewujudkan komuniti yang memahami idea dan matlamat yang ingin dicapai. Lalu menghasilkan kebersamaan dalam tindakan. Begitu juga persekitaran di rumah. Ia mungkin dilihat begitu idealistik tetapi tidak mustahil.

Kerjasama antara komuniti tersebut bakal memberi impak yang baik dalam segmen pendidikan. Contoh adanya kolaborasi yang baik antara pihak sekolah dan ibu bapa. Kolaborasi yang padu antara pengurusan, pentadbiran dan semua kakitangan dalam merencana pendidikan secara serius. Bukan agenda yang bersifat memprodukkan anak-anak.

Tindakan pendidik

(1) Usaha konsisten sebaik mungkin.

(2) Selaraskan kaedah atau peraturan dan pendekatan yang tidak terlalu ekstrem antara satu sama lain.

(3) Tahu prioriti. Jangan pundakkan anak-anak dengan bebanan idea yang banyak dalam satu masa. Fokus pada satu-satu nilai apa yang perlu diterapkan kemudian konsisten.

(4) Jika perlu berlaku pindaan terhadap sesuatu peraturan, ambil masa untuk terangkan mengapa dan kenapa.

(5) Jauhkan anak dari persekitaran yang boleh menerapkan idea yang bertentangan dengan idea kita.

(6) Jangan cipta peraturan yang terlalu ekstrem sehingga kita sendiri pun tidak mampu istiqamah.

Kadang kita lupa, pendidikan itu adalah usaha. Berusaha dengan objektif yang benar, cara yang benar dan memberikan yang benar.

NAJWA ZAKARIA – HARAKAHDAILY 29/3/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -