PAS tunggangan perpaduan

- Advertisement -

SABAN hari PAS terus jadi perhatian di Malaysia. Apa sahaja kenyataan dari mana-mana pimpinan, maka pasti PAS dicari mengharapkan ulasan. Walaupun ada yang cuba memasang perangkap mengharapkan ulasan yang dimanipulasi mengeruhkan keadaan. 

Semalam Tuan Guru Presiden bersama Timbalan menghadiri Perhimpunan Agong Umno. Pastinya PAU kali ini memfokuskan isu hubungan Umno-PAS-BERSATU. Ia bukan sahaja isu yang menentukan pembentukan kerajaan tetapi juga penentu nasib masa depan PH yang kehilangan isu untuk dipasarkan.

‘Lidah rasmi’ PH menjaja kononnya Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengelak atau ‘lari’ dari memberi ulasan. Semua media berkejar hingga ada yang jatuh ketika bertolak-tolak memburu Presiden PAS itu. Sekadar mengharap sepatah dua kata.

- Advertisement -

Begitulah keadaan dan perhatian politik dan massa kepada PAS dan kepimpinannya. Kalau tiada PAS seakan politik Malaysia sepi. Semua mengakui peranan yang dimainkan PAS dalam persada politik negara.

Tuan Guru Presiden PAS adalah tokoh politik yang mendapat pengajian khusus dalam bidang politik. Satu-satunya tokoh ketua parti yang miliki teori rasmi dan pengalaman Antarabangsa yang bergelumang di arena sebenar dari usia mudanya.

Ijazah Sarjana di bidang Siasah al-Azhar dan tokoh gerakan ulamak Antarabangsa yang menyertai misi besar perdamaian negara-negara Islam. Menyertai misi perdamaian bertemu pemimpin negara bergolak seperti Iraq, Saudi dan negara teluk ketika usaha mengelak peperangan.

Meredakan perang saudara di Yaman dan hubungan antara mazhab yang dijadikan alat perpecahan oleh musuh Islam. Perunding mendamaikan gelora sengketa Acheh dan lain-lain negara melibatkan umat Islam.

PAS berperanan menyatukan serpihan Umno yang ‘memberontak’ seperti Semangat 46 dan PKR. ia bertujuan mengimbangi perpecahan Melayu. Begitu juga ketika Umno kehilangan kuasa. Bagi mereka yang mengikuti perkembangan ini akan tahu betapa sasaran PAS ialah perpaduan ummah.

PAS berhubung dengan Semangat 46 walaupun tiada hubungan dengan DAP yang menjadi rakan Ku Li ketika itu. Begitu juga bersama Anuar yang bermula dengan NGO ADIL. Saya menyaksikan parti NGO Anwar ini ‘menjengoi’ kepala ketika PRN Sabah 1998.

PAS sediakan jentera sepenuhnya setelah mencagarkan kerusi tradisi yang ditandingi kepada rakan atas nama kerjasama politik. Ahli PAS merungut kerana rakan yang bertanding itu ‘mengirim’ calon terbang tanpa sebarang bekalan. Hanya calon dan wakil calon selain poster dan bendera yang dilonggok di markas PAS.

Begitu juga PAS membuktikan kesetiaan membiarkan Umno beraksi di enam PRK dengan sokongan penuh jentera termasuk kewangan dan markas gerakan. Umno biasanya menumpang dewan orang ramai ketika jadi kerajaan. Tak pernah sekalipun PAS menuntut satu kerusi sebagai tanda rakan setia atas nama ‘perkongsian’. Itulah PAS yang mengutamakan perpaduan.

Banyak lagi nostalgia untuk ibrah yang boleh dikongsi, namun tulisan yang panjang tentunya menjemukan. Saya kongsikan catatan ini untuk dikenali erti setia PAS dalam hubungan dan perkongsian. PAS rela jadi tunggangan untuk perpaduan. Matlamatnya… Menyatukan ummah agar kuasa agama dan bangsa terus berdaulat di tanah air tercinta.

FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha Politik
Pesuruhjaya PAS Perak – HARAKAHDAILY 29/3/2021

- Advertisement -