Aku mencintaimu dan membencimu kerana Allah S.W.T

- Advertisement -

KETAHUILAH, bahawa manusia tidak diciptakan secara main-main atau sembarangan. Dia diciptakan dengan sebaik-baiknya dan demi suatu tujuan agung. Manusia diarah untuk melengkapkan dirinya dengan ilmu agar dia kenal siapakah dirinya? Dari mana dia datang? Ke mana dia akan pergi? Apa tujuan dia datang lalu tinggal di bumi ini? Dan di manakah sebenarnya, kebahagiaan dan kesedihannya?

Berimanlah kepada Allah S.W.T dengan segenap hatimu dan janganlah kalian bersandar kepada yang lain dan percaya kepada yang lain. Letakkan Allah S.W.T dalam segala tindakanmu, percakapan dan perbuatanmu. Maka Dia akan meluruskan jalanmu dan Dia akan membantumu.

- Advertisement -

Tetapi manusia sering lupa lalu bergantung dan bersandar kepada kekuatan, kehebatan dan kebijaksanaan dirinya. Mereka lupa bahawa semuanya itu tanpa bantuan Allah S.W.T, tidak ada ertinya. Maka sering-seringlah kita, kalau ada masalah , mintalah pertolngan kepada Allah S.W.T, baik masalah itu besar atau sekadar perkara yang remeh sekalipun, kerana hal ini akan menunjukkan kefakiran kita di hadapan Allah S.W.T: 

“Aisyah R.A mengatakan, “Mintalah kepada Allah S.W.T kemudahan untuk segala hal, bahkan meminta tali kasut sekalipun. Kerana jika Allah S.W.T tidak memudahkan, nescaya seseorang tidak akan mendapatkan kemudahan.”

(Karya Al Baihaqi dalam Syu’abul Iman 1119/2)

Berbahas mengenai soal cinta. Apa erti cinta sebenarnya? Ramai yang masih ragu-ragu terutama di sudut Islam. Manusia dan kehidupan tidak boleh lari dari cinta. Cinta adalah satu perasaan yang begitu indah yang berada di dalam jiwa manusia, yang terkadang membuatnya menangis tetapi di lain kesempatan membuatnya tersenyum berbahagia.

Tetapi bila kita membicarakan mengenai soal cinta kerana Allah S.W.T, kita berbicara mengenai sesuatu yang berbeza, sesuatu yang sangat suci yang indah dan kukuh bahkan Rasulullah S.A.W, di dalam Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin Hambal menyatakan yang bermaksud:

“Simpul tali keimanan yang paling kukuh, yang paling kuat itu adalah cinta kerana Allah S.W.T dan benci kerana Alllah S.W.T.”

Mengucapkan cinta kerana Allah S.W.T ini mudah. Namun cinta antara manusia dengan Allah S.W.T adalah cinta yang paling agong. Cinta suci kepada Allah S.W.T itu bukan sekadar ucapan di lisan, bukan sekadar status yang dimuat naik di media sosial, tetapi cinta kepada Allah S.W.T perlu pembuktian dari sikap dan perilaku hamba itu sendiri, kerana cinta ini bermaksud melakukan suruhan-Nya dan menjauhi larangan-Nya, suka atau tidak.

Dan mengungkapkan kata cinta kepada sesama manusia, khususnya untuk orang yang disayangi, bukan sekadar dengan melafazkan kata yang ‘aku mencintaimu kerana Allah S.W.T’, tetapi kata yang dilafazkan itu mesti di atas dasar cinta kerana Allah S.W.T dan benci kerana Allah S.W.T. Ini adalah simpulan cinta dan ikatan keimanan yang paling kuat dalam melayari hidup terutamanya dalam kehidupan berumah tangga. 

Dari hadis Al Baara’ bin ‘Aazib, Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya ikatan keimanan yang paling kuat adalah engkau mencintai kerana Allah S.W.T dan engkau membenci kerana Allah S.W.T.”

(Musnad Ahmad no 18524)

Cinta kerana Allah S.W.T adalah cinta yang menjadi sebab bagi seseorang meraih manisnya iman dan meraih Sakinah, Mawaddah Warahmah dalam rumah tangga. Kenapa begitu? Kalau cinta kerana Allah S.W.T ini sekadar ucapan di lisan, semua orang boleh mengungkapkan begitu, Jadi apa bezanya orang-orang yang benar dan dusta dalam menyatakan cinta? Bukankah orang-orang Munafikin mereka datang kepada Nabi S.A.W mengungkapkan cinta mereka dengan lisannya bahkan Allah S.W.T menurunkan surah Al-Quran dalam nama mereka, surah al-Munafikun. Allah S.W.T memulai dengan firman-Nya yang bermaksud: 

“Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Apabila orang-orang Munafik datang kepadamu (wahai Muhammad), mereka berkata: “Kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau – sebenar-benarnya Rasul Allah”. Dan Allah sememangnya mengetahui bahawa engkau ialah RasulNya, serta Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta.”

(Munafikun: 1)

Ketika orang-orang Munafik datang kepada Nabi S.A.W, mereka menyatakan, kami bersaksi engkau adalah utusan Allah S.W.T (menunjukkan cintanya kepada Rasul S.A.W). Sesungguhnya Allah S.W.T bersaksi bahawa orang-orang Munafik itu pendusta. 

Kedudukan mulia orang yang mencintai kerana Allah S.W.T dan membenci kerana Allah S.W.T dinyatakan oleh Rasul S.A.W dalam Hadisnya yang bermaksud:

“Dari Abu Hurairah R.A, Rasulullah S.A.W bersabda, “Sesungguhnya di antara hamba-hamba Allah, ada orang yang bukan para Nabi, tetapi para Nabi dan orang yang mati syahid cemburu kepada mereka itu, ketika melihat kedudukan mereka di sisi Allah S.W.T.

“Lalu para Sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, siapakah mereka wahai Rasulullah dan bagaimana amal mereka? Semoga kami juga boleh turut mencintai mereka.”

“Maka Nabi S.A.W pun menjawab, “Mereka adalah orang-orang yang saling mencintai kerana Allah S.W.T, tanpa ada hubungan keluarga dan nasab di antara mereka, dan tidak ada kepentingan harta untuk dibahagikan antara mereka, yang menyebabkan dengan itu lahir cinta antara mereka, bukan! Mereka mencintai kerana Allah S.W.T. Demi Allah S.W.T! Wajah mereka bagaikan cahaya terang benderang, mereka berada di atas cahaya, mereka tidak takut ketika orang-orang berada dalam ketakutan, mereka juga tidak bersedih ketika orang-orang bersedih.”

“Kemudian Nabi S.A.W membacakan firman Allah S.W.T dalam surah Yunus ayat 62,

““Wali-wali Allah itu adalah orang yang tiada rasa kekhuatiran terhadap mereka dan tidak pula mereka bersedih hati””

(Hadis Riwayat Abu daud) Ada Hadis yang mensaksikan Hadis Hasan.

Apabila membicarakan hal rumahtangga iaitu hubungan pasangan suami isteri, Apakah mungkin hubungan ini dibina di atas dasar kecintaan kerana Allah S.W.T? Mungkin! Namun sepertinya, masih banyak yang rumahtangganya tidak dibina di atas cinta kerana Allah S.W.T. Jadi, kebanyakkan orang-orang yang berumahtangga itu, atas dasar apa?

Pesan Nabi S.A.W dalam Hadis dari Abu Hurairah R.A yang bermaksud:

“Wanita dinikahi dengan empat perkara, kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka pilihlah wanita yang taat beragama, nescaya kamu akan beruntung.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Masing-masing hendaklah kembali bermuhasabah diri, kenapa dia menikahi pasangannya? Penerangan dari empat perkara dari Hadis di atas: 

Yang pertama, kerana kecantikannya. Memang para lelaki suka pada yang cantik, tetapi kalau terbatas kepada kecantikan sahaja, mungkin boleh membawa keburukan kepada mereka.

Yang kedua, kerana hartanya. Harta perhiasan dunia, tetapi berhati-hati, takut menjadikan mereka sesat dan lupa diri.

Yang ketiga, kerana keturunannya.

Yang keempat, kerana agamanya. 

(Rujuk surah al Hujurat ayat 13)

Maksudnya:

“…Sesungguhnya orang yang mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu…”

Jadi apa pilihan kalian, ketika pasangan itu, cuma ada cantik, kaya dan bangsawan dan kurang satu iaitu agamanya? Atau memilih yang beragama tetapi yang tiga lagi tidak ada atau kurang? Jadi yang mana satu, harus kalian pilih? 

Maka Nabi S.A.W menyatakan dalam sabdanya yang bermaksud:

“Maka beruntunglah, engkau memilih wanita yang taat beragama.” 

Kenapa? Kalian akan selamat. Kalian boleh pilih yang cantik, tetapi pilihlah yang cantik tetapi beragama. Bukan bermakna kita tidak boleh pilih yang kaya, boleh! Tetapi yang beragama. Dalam apa sahaja pilihan kita, agama harus ada. Dari sinilah baru kita akan berbincang seterusnya mengenai rumahtangga yang dibina di atas cinta kerana Allah S.W.T. 

Begitu juga untuk para wanita. Kalian menerima lamaran suamimu dahulu, kerana apa? Kerana dia seorang pegawai kerajaan? Kerana dia seorang doktor? Kerana dia kaya? Kerana dia bijaksana? Kerana dia tampan? Kerana dia bangsawan? Atau kerana dia seorang yang beragama dan berakhlak mulia? Mana satu pilihan, yang menyebabkan kalian menerima pinangan seorang lelaki yang sekarang menjadi suamimu?

Mungkin dahulu, suasananya berbeza dari sekarang ini. Dahulu kepesatan dakwah tidak secanggih dan meluas seperti sekarang, iaitu ilmu di hujung jari. Mungkin ruang pilihan kita, ada berbau kejahilan, tidak berapa peduli dengan soal agama. Adakah ini benar? Padahal menurut Islam, memilih yang beragama, akan melahirkan cinta kerana Allah S.W.T dan benci kerana Allah S.W.T: 

Ibnu Qutaibiah ad-Dinawari menceritakan dalam Kitab ‘Uyunul Akhbar, bahawa seseorang datang kepada Hassan al Basri R.A, untuk meminta nasihat darinya, “Saya memiliki seorang anak gadis, dan dia sudah dilamar orang, kepada siapa saya harus menikahkannya?” Maka Hasan al Basri hanya mengatakan, “Nikahkan puteri mu dengan orang yang bertakwa kepada Allah S.W.T, (Maka beliau menjelaskan sebabnya) kalau dia mencintai puterimu, maka dia akan memuliakan puterimu tetapi kalau dia membenci puterimu, dia tidak akan menzalimi puterimu.” Kenapa? Kerana dia takut kepada Allah S.W.T.

Ingat! Semua yang tidak dibina di atas dasar cinta kepada Allah S.W.T, akhirnya akan berubah menjadi permusuhan, cepat atau lambat, begitu juga kelak di hari kiamat. 

Allah berfirman yang bermaksud: 

“Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan takwa (iman dan amal soleh).”

(al-Zuhruf: 67)

Semua hubungan dan ikatan persaudaraan, persahabatan, kekeluargaan dan lain-lain dan yang saling mengasihi di antara satu sama lain, baik suami atau isteri, atau antara sahabat dengan sahabat yang lain atau teman di tempat kerja atau adik beradik, kelak di hari kiamat mereka akan saling bermusuhan, akan saling membenci kecuali orang-orang yang bertakwa. 

Bahkan bukan kebencian biasa tapi mereka akan saling melaknat, akan saling mencaci, akan saling memaki dan akan saling menuntut dan saling menyalahkan di sana nanti. Subhanallah! Kenapa? Kerana selama ini perhubungan, pertemuan, perkumpulan dan persahabatan mereka bahkan ikatan mereka, bukan kerana Allah S.W.T, tetapi kerana agenda nafsu dan kerana kepentingan tertentu.

Jadi bayangkanlah nanti, bagaimana suami dan isteri di Padang Mahsyar. Mereka mungkin saling menuntut, saling menggugat dan saling menyalahkan? Suami menyalahkan isterinya dan isteri menyalahkan suaminya. Di mana cinta? Bukankah mereka bersama sampai mati, sampai tua nyanyuk semasa di dunia. Bahkan, mereka dikatakan pasangan yang bahagia dan romantik hingga tuanya! Tetapi di hari kiamat kelak, mereka saling bermusuhan dan saling membenci. Kenapa? Kerana di sepanjang hidup mereka di dunia, ikatan perkahwinan mereka bukan kerana Allah S.W.T.

Suami isteri yang rumahtangganya dibina atas dasar cinta kerana Allah S.W.T, cinta mereka akan terus bertahan walaupun jasad mereka sudah berada di dalam perut bumi. Sampai tatkala dibangkitkan nanti, cinta mereka akan terus subur dan membara sehingga kita melihat mereka akan saling memberikan syafaat. Suami akan memberikan syafaat kepada isteri, “ya Allah, isteriku ya Allah…” dan isteri juga akan memberikan syafaat buat suaminya, “Ya Allah suamiku ya Allah…” Bukan saling melaknat, membenci dan bukan saling bermusuhan, tetapi saling membantu antara satu sama lain.

Bayangkan, tatkala seorang suami yang masuk syurga kemudian didapati isterinya tiada di syurga. Sang suami akan meminta kepada Allah S.W.T agar isterinya dikeluarkan dari neraka, isteri pun seperti itu juga. Masya-Allah, indahnya! Kalau rumah tangga dibina di atas cinta kerana Allah S.W.T. Bahkan para malaikat juga mendoakan agar rumahtangga mereka selamat dari api neraka:

“Malaikat yang memikul Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya, bertasbih memuji TuhanNya; dan beriman kepadaNya; serta mereka memohon ampun bagi orang-orang yang beriman (dengan berdoa merayu): “Wahai Tuhan kami! RahmatMu dan IlmuMu meliputi segala-galanya; maka berilah ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta menurut jalanMu, dan peliharalah mereka dari azab neraka.

““Wahai Tuhan kami! Dan masukkanlah mereka ke dalam Syurga ‘Adn’ yang Engkau telah janjikan kepada mereka; dan (masukkanlah bersama-sama mereka): orang-orang yang layak di antara ibu bapa mereka, dan isteri-isteri mereka, serta keturunan mereka. Sesungguhnya Engkaulah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.


“Dan peliharalah mereka dari (balasan) kejahatan-kejahatan (yang dilakukannya); dan (sebenarnya) sesiapa yang Engkau pelihara pada hari itu dari terkena (balasan) kejahatan-kejahatan (yang dilakukannya) maka sesungguhnya Engkau telah mengurniakan rahmat kepadanya; dan yang demikian itulah kemenangan yang besar (nilainya)”.”

(Ghafir: 7-9)

Para malaikat yang memikul Arasy dan yang di sekitarnya, mereka memohonkan keampunan untuk orang-orang yang beriman. Mereka memohon kepada Allah S.W.T agar orang beriman ini bukan hanya masuk syurga sendirian, tetapi dimasukkan ke syurga bersama nenek moyang mereka yang soleh hingga ke atas, dari samping mereka iaitu isteri-isteri mereka dan dari bawah mereka, iaitu anak-anak keturunan mereka. Mereka masuk ke syurga bersama-sama, sekiranya cinta mereka kerana Allah S.W.T.

Apakah adab yang perlu dijaga di antara suami isteri ini, agar kebersamaan mereka membina rumahtangga kerana Allah S.W.T terus kukuh hingga ke syurga: 

Melihat pada kelebihan dan tidak melihat kepada kekurangan

Suami harus faham kalau isterinya itu bukan malaikat, bukan bidadari, walaupun dia seseorang lulusan pengajian tinggi agama, hafal Quran, anak ustaz dan dia sendiri seorang ustazah lagi, tetapi dia hanya manusia biasa yang penuh dengan kekurangan.

Dan para isteri juga harus faham, suaminya itu bukan malaikat walaupun dia hafal al-Quran, walaupun ia seorang lulusan sekolah agama, walaupun dia seorang ustaz dan walaupun dia seorang pendakwah, tetapi dia juga seperti kamu, manusia biasa yang penuh dengan kekurangan. 

Jadi apa yang harus dilakukan? Kalian harus memahami hal ini, lihatlah pada kelebihan dan jangan melihat kepada kekurangan masing-masing.

Nabi S.A.W bersabda dari Abu Hurairah yang bermaksud:

“Janganlah seorang Mukmin tidak membenci seorang Mukminah, jika dia tidak menyukai satu perangainya, maka boleh jadi dia menyukai dengan perangainya yang lain.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Secara tegasnya, Allah S.W.T memerintahkan kepada para suami untuk tetap menghiasi diri dengan sifat sabar dalam menghadapi perangai, tabiat, kekurangan dan keterbatasan isteri, walaupun sudah memilih yang beragama. Yakinlah, akan ada kebaikan setelahnya. Binalah rumahtangga dengan cinta kerana Allah S.W.T dan sentiasa memelihara bahtera rumah tangga dengan saling membaiki kesalahan dan kekurangan masing-masing, saling memberi nasehat dalam hal kebenaran dan kesabaran serta bersungguh-sungguh memelihara kedamaian dan kebahagiaan dalam rumah tangga:

“…Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).”

(an Nisa’: 19)

Saling menghargai

Di dalam rumahtangga, mesti saling menghormati sesama pasangan dan keluarga kedua belah pihak. Suami menghargai isteri dan keluarganya dan tidak menghina-hinakan mereka. 

Rasulullah S.A.W bersabda yang bermksud:

“Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik dengan keluarganya. Dan akulah yang paling baik di antara kalian dalam bermuamalah dengan keluarga.”

(Hadis Riwayat Tirmizi)

Jelas di sini pesan Nabi S.A.W agar setiap suami berakhlak mulia kepada keluarganya, terutama terhadap isteri dan anak-anak. Bahkan juga berbuat baik dan menghormati kepada keluarga isteri. Berusaha untuk mencintai dan membenci kerana Allah S.W.T. Jika sebaliknya, akhirnya rumahtangga akan hancur.

Semakin banyak kebaikan diberikan kepada pasangan, semakin bercambah dan subur benih-benih kecintaan di antara satu sama lain dan semakin mendalam meresap ke dalam hati rasa kasih dan sayang bahkan semakin kukuh rumahtangga. Hendaklah kalian menghargai suamimu, menghargai mentuamu dan keluarga mentuamu, sebab kalian telah mengambil putera-putera (Buah hati) mereka dari pelukan mereka. Dan begitu juga para suami menghormati isteri dan mentuanya.

Kadang kala ada perselisihan antara menantu dan mentua, itu hal yang biasa. Bukan mudah untuk kedua pihak menyesuaikan diri dan mencari titik persefahaman. Mudah-mudahan ia menjadi rempah ratus menyedap dalam rumahtangga. Bagi ruang dan masa. Inilah sikap yang mesti ada.

Saling menghargai dan menghormati dalam rumahtangga, adalah kunci sebenarnya menggapai Sakinah, Mawaddah Warahmah dalam rumahtangga. Begitu juga hubungan antara seorang Muslim bersama Muslim yang lain, saling menghargai dan saling menghormati dalam masyarakat, adalah juga kunci menggapai kehidupan penuh kedamaian dan prihatin di dalam masyarakat.

Saling berterima kasih 

Kenapa perkataan keramat ini, ramai di kalangan kita tidak menyedari kepentingannya di dalam rumahtangga? Perkataan ini bukan sahaja membuatkan pasangan rasa bahagia dan rasa dihargai malah menyelamatkan rumahtangga dari perpisahan dan kehancuran.

Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Sungguh menakjubkan urusan orang beriman, semua urusannya adalah baik baginya. Hal ini tidak didapatkan kecuali pada diri orang beriman. Apabila mendapat kesenangan, dia bersyukur, maka yang demikian itu merupakan kebaikan baginya. Sebaliknya apabila tertimpa kesusahan, dia pun bersabar, maka yang demikian itu merupakan kebaikan baginya.”

(Hadis Shahih. Diriwayatkan oleh Muslim no 2999)

Inilah dasar kehidupan orang beriman, yang dasar cintanya kerana Allah S.W.T dan bencinya kerana Allah S.W.T. Apa-apa pun yang terjadi, baik dalam rumahtangganya, di tempat kerjanya, dalam masyarakatnya, dalam negerinya, semua urusanya adalah baik baginya. Inilah orang yang kalau mendapat kegembiraan dan kenikmatan, dia bersyukur. Maka itu adalah baik buat dia. Kalau dia mendapat sesuatu yang dia tidak sukai, dia bersabar, itu jadi baik buat dia. Begitu jugalah dalam rumahtangga, sekiranya dibina di atas dasar syukur dan sabar, Subhanallah!

Cuba muhasabah diri! berapa kali wahai para isteri, kalian telah berterima kasih kepada suamimu? Mungkin tidak banyak yang diberikan oleh suamimu kepada dirimu tetapi dirinya yang hidup bersamamu itu sudah perlu disyukuri. Jangan pernah ada rasa tidak pernah berasa puas hati dan tidak berasa cukup dengan apa sahaja pemberian dari suamimu wahai para isteri. Bersyukurlah dan berterima kasihlah.

Nabi S.A.W, dalam urusan bersyukur ini, beliau memfokus kepada para isteri: 

“Di dalam kisah Solat Gerhana Matahari, Rasulullah S.A.W dan para Sahabatnya melakukan Solat Gerhana dengan solat yang panjang. Rasulullah S.A.W melihat syurga dan neraka. Baginda bersabda kepada para Sahabatnya:

“… dan aku melihat neraka, maka tidak pernah aku melihat pemandangan yang sedahsyat seperti ini sama sekali. Aku melihat kebanyakan penghuninya adalah kaum wanita. 

Para Sahabat pun bertanya, “Mengapa demikian ya Rasulullah S.A.W?” Baginda S.A.W menjawab, “Kerana kekufuran mereka.” 

Kemudian ditanya lagi, “Apakah mereka kufur kepada Allah S.W.T?” Baginda menjawab, “Mereka kufur kepada suami-suami mereka, kufur terhadap kebaikan-kebaikannya.

Kalaulah engkau berbuat baik kepada salah seorang di antara mereka dengan sebanyak-banyaknya, kemudian dia melihat sesuatu pada dirimu (Yang tidak disukainya) nescaya dia akan berkata, “Aku tidak pernah melihat sedikitpun kebaikan pada dirimu.”

(Hadis Riwayat Imam Bukhari)

Dan para suami pula, telah berapa kali kalian berterima kasih kepada isterimu? Di atas semua jasa mereka melayan dirimu, membesarkan anak-anakmu, mengurus rumahmu, memasak untukmu, mendidik anak-anakmu, menyajikan makananmu, menyambut kepulanganmu dan lain-lainnya.

Dan di antara bentuk terima kasih itu adalah membalas dengan sesuatu yang kita mampu berikan kepada isteri. Contoh, berikan nafkah kepada isteri kalau memang ada lebih hartamu, berikan hadiah kepada isterimu kerana itu akan menyuburkan cinta dan kasih sayangnya kepadamu. Kemudian saling memaafkan seperti peribahasa, ‘sedangkan lidah lagi tergigit’ walau sebaik mana hubungan suami isteri atau dengan orang lain, pasti akan ada perselisihan faham dan kesilapan, kalau tidak sikit, banyak. 

Di rumah Nabi S.A.W sendiri, terkadang terjadi kesalahan yang diperbuat oleh isteri-isteri Nabi S.A.W sendiri, atau ada sesuatu yang membuatkan isteri-isteri Nabi S.A.W sendiri, berasa hati kepada Nabi S.A.W. Itu adalah sesuatu yang wajar dan lumrah dalam rumahtangga.

Jadi apa yang harus dilakukan? Mesti saling memaafkan. Seandainya pasangan melakukan kesalahan yang berat! Perbaiki terlebih dahulu, nasihati terlebih dahulu, cari penyelesaian dengan bersemuka antara dua keluarga dahulu atau menghadiri sesi kaunseling di pejabat agama dahulu. Sekiranya selepas pelbagai usaha yang sudah dilakukan, hubungan suami isteri boleh berubah menjadi semakin baik, maka lanjutkan hubungan rumahtangga itu. Sekira tiada perubahan, maka Allah ada bagi jalan keluar yang terbaik untuk kedua-dua belah pihak. Cuba lihat apa kata Allah S.W.T dalam ayat di bawah.

Allah berfirman yang bermaksud:

“Dan (jika kamu hendak membalas maka) balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang bersamaan dengannya; dalam pada itu sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim.”

(asy-Shura: 40)

Di sini kadang kala isteri dizalimi oleh suami. Apa yang mesti dilakukannya? Dengan memaafkan. 

Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Mahukah aku menceritakan kepada kalian, isteri-isteri kalian yang menjadi penghuni syurga iaitu isteri yang penuh dengan kasih sayang, banyak anak, selalu kembali kepada suaminya. Di mana jika suaminya marah, dia mendatangi suaminya dan meletakkan tangannya pada tangan suaminya seraya berkata, ‘Aku tidak dapat tidur sebelum engkau redha.’”

(Hadis Riwayat An-Nasai dalam Isyratun Nisa’ no 257)

Sekira ada perempuan mengatakan, ‘suami saya ego, tidak mahu mintak maaf.’ Jadi engkau yang minta maaf! Tetapi dia yang bersalah! Tetap, engkau yang pergi minta maaf. Kenapa? Sebab dia pemimpin di dalam rumahtanggamu.

Maka Nabi S.A.W memberikan nasihat seperti Hadis di atas. Pesanan itu bukan untuk merendahkan atau menghina kaum wanita. Kadang kala ada sebahagian orang merasakan, iaitu orang meminta maaf atau memaafkan itu, akan menjadi rendah atau hina. Tidak! Tapi dia akan menjadi orang yang mulia dan tinggi darjatnya di sisi Allah S.W.T.

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

“Harta tidak akan berkurangan dengan sebab sedekah. Dan Allah S.W.T tidak menambah kepada seseorang hamba dengan sebab kemaafan yang diberikan (Kepada orang lain), melainkan kemuliaan dan tiada merendah diri seseorang itu melainkan Allah S.W.T akan meninggikan darjatnya,”

(Riwayat Muslim)

Jadi ketika dia (Para isteri) memaafkan, atau minta maaf, dia akan bertambah terhormat sebenarnya bukan bertambah hina. Dan para suami juga pun begitu, meminta maaf dan memaafkan isterinya.

Setiap manusia biasa akan melakukan kesilapan dan dosa, begitu jugalah di dalam rumahtangga, perbalahan dan kesalah fahaman mungkin sering berlaku seperti sabda Rasulullah S.A.W di bawah, Hadis ini bersifat umum.

Hadis Hasan oleh al Albani, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: 

“Setiap anak Adam (Yakni manusia) pasti melakukan kesalahan, sedangkan sebaik-baik oarang yang melakukan kesalahan adalah orang yang bertaubat.”

(Hadis Riwayat Tirmizi)

Dan kita tahu kita turun di muka bumi ini juga kerana kesalahan, maka hendaklah saling memaafkan, bukan sahaja kepada suami atau isteri dan ahli keluarga bahkan kepada orang lain. Contoh sabda Nabi S.A.W di bawah yang bermaksud:

“Dari Abdullah bin Umar R.A, ia berkata, “Seorang lelaki datang kepada Rasulullah S.A.W, lalu ia bertanya, “Wahai Rasulullah S.A.W, berapa kali kita memaafkan (Kesalahan) pembantu?” Lalu Beliau pun diam. Kemudian orang itu mengulang pertanyaannya. Dan Nabi pun masih terdiam. Lalu yang ketiga kalinya, Beliau S.A.W bersabda, “Maafkanlah dia (Pembantu) setiap hari 70 kali.””

(Hadis Riwayat Abu Daud)

Ingat itu, walaupun berbuat salah 70 kali, tetapi masih memberi kemaafan. Maaf itu indah. Dendam dan marah cuma sekadar duri di dalam hati, buanglah! Ingat pesan Allah S.W.T dalam surah asy-Syura ayat 40 di atas.

Kemudian di surah al Baqarah ayat 237 yang bermaksud:

“Dan jika kamu ceraikan mereka sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka, padahal kamu sudah menetapkan kadar mas kahwin untuk mereka, maka mereka berhak mendapat separuh dari mas kahwin yang telah kamu tetapkan itu, kecuali jika mereka memaafkannya tidak menuntutnya); atau (pihak) yang memegang ikatan nikah itu memaafkannya (memberikan mas kahwin itu dengan sepenuhnya). Dan perbuatan kamu bermaaf-maafan (halal menghalalkan) itu lebih hampir kepada takwa. Dan janganlah pula kamu lupa berbuat baik dan berbudisesama sendiriSesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu kerjakan.”

Begitulah juga di dalam soal perceraian seperti ayat di atas. Di dalam rumahtangga, mesti saling memaafkan dan menutup aib masing-masing. Tidak boleh membuka aib suami atau isteri, rahsia di dalam bilik dan rahsia rumahtangga kepada anak-anak apatah lagi kepada orang lain. Begitu juga selepas bercerai. 

Sekiranya tiada mampu lagi mempertahankan rumahtangga, perceraian adalah pilihan terakhir, agar terhindar dari terus berbuat dosa. Adabnya, hendaklah sentiasa mengenang atau tidak melupakan kebaikan masing-masing di sepanjang bersama dalam perkahwinan. Lihatlah pada kelebihan dan bukan melihat kepada kekurangan. Yang berlalu, biarkan berlalu dan binalah kehidupan baru masing-masing, yang lebih baik dan solehah di sisi Allah S.W.T, banyakkan ingat Allah S.W.T dan bertaubat.

Maka waspadalah, jangan sampai rumahtangga yang kita bina kerana Allah S.W.T, tetapi akhirnya ternyata menjadi rumahtangga yang paling di benci Allah di hari kiamat kelak. Kenapa? Kerana tidak menjaga adab-adab dan kerahsiaan rumahtangga. 

Suami isteri harus saling mengingatkan

Bernikah bukan sahaja saling mencintai tetapi saling mengingatkan dalam kebaikan dan ketakwaan. Maka, sentiasalah saling memperbaiki kekurangan dan mengajak kepada kebenaran dan kesabaran. Inilah kunci kekuatan dan kejayaan dalam rumahtangga:

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

(at-Taubah: 71)

Allah S.W.T menyebutkan dalam ayat ini mengenai sifat-sifat orang beriman, iaitu kekasih-kekasih Allah S.W.T. Antaranya:

  1. Memerintahkan kepada yang baik, yang maaruf
  2. Mencegah yang mungkar
  3. Mendirikan solat.
  4. Menunaikan zakat,
  5. Taat kepada Allah S.W.T.
  6. Taat kepada Rasul S.A.W.

Setiap pasangan suami isteri mesti meletakkan nilai iman di dalam setiap tindakannya. Apa-apa mesti kembali kepada Allah S.W.T, dan terus tabah membina rumahtangga di atas dasar cinta kerana Allah S.W.T.

Susun kehidupan berumahtangga dengan susunan terbaik, umpamanya, sekiranya pasangan lalai mengerjakan ibadah seperti solat, ingatkan dengan penuh bijaksana dan berhikmah. Hidupkan suasana dalam rumah dengan bacaan Quran, solat berjamaah, saling bertolong bantu, menghidupkan malam dengan solat Tahajud, saling menasihati dengan kasih sayang dan lain-lain lagi yang bermatlamat untuk keharmonian rumahtangga di dunia dan akhirat. 

Seandainya ada berlaku perbalahan dan kesalah fahaman, cari punca penyebab. Jangan dibiarkan tapi diselesaikan dengan segera. Yakinlah, kalau cinta kerana Allah S.W.T, pasti di sana ada pertolongan Allah S.W.T dan jalan keluar yang terbaik:

“Sesungguhnya bersama kesulitan itu, ada kemudahan.”

(al-Insyirah: 6)

Ayat ini diulang dua kali, yang ertinya bahawa di sebalik setiap masalah itu, selalunya diikuti oleh solusi atau jalan penyelesaian. Maka ini harus menjadi sesuatu yang mesti difikirkan oleh suami isteri. Tetapi sekiranya, pasangan masih berdegil dan terus meninggalkan ketaatan kepada Allah dan melakukan perbuatan-perbuatan yang mengeluarkannya dari agama Islam, walaupun sudah diberikan peringatan. Di ketika ini, perceraian adalah pilihan terakhir kerana rumahtangganya telah dibina atas dasar cinta kerana Allah S.W.T dan benci kerana Allah S.W.T.

Sebagaimana suruhan Allah kepada Nabi S.A.W dalam surah Al Ahzab ayat 28 dan 29 yang bermaksud:

“Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu: “Sekiranya kamu semua mahukan kehidupan dunia (yang mewah) dan perhiasannya (yang indah), maka marilah supaya aku berikan kepada kamu pemberian mut’ah (sagu hati), dan aku lepaskan kamu dengan cara yang sebaik-baiknya.

“”Dan sekiranya kamu semua mahukan (keredaan) Allah dan RasulNya serta (nikmat kemewahan) di negeri akhirat maka sesungguhnya Allah menyediakan bagi orang-orang yang berbuat baik di antara kamu: pahala yang besar”.

Inilah peranan suami, mengatur rumahtangganya dengan cara penuh hikmah dan bijaksana. Mengajak kepada kebaikan (membaiki setiap kesilapan dan kekurangan semampunya) dan mencegah dari melakukan kemungkaran di dalam rumahtangga agar para isteri dan anak-anak kalian tidak menuntut di akhirat nanti mengenai tanggungjawab yang kalian tidak tunaikan semasa di dunia sebagai ketua keluarga dalam rumahtangga. Dan Allah S.W.T memerintahkan para suami untuk menyelamatkan isteri dan anaknya dan keluarganya dari api neraka.

Kemudian Allah S.W.T telah mengingatkan kepada Nabi S.A.W dan para suami juga agar sentiasa mengingatkan isterinya dan ahli keluarga wanitanya agar mentaati perintah menutup aurat dan perintah-perintah Allah S.W.T yang lain, seperti di dalam surah al-Ahzab ayat 59 yang bermaksud:

“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Di sini, ternyata tugas suami bukan setakat mencari nafkah untuk kehidupan keluarga tetapi juga sebagai penyelamat isteri dan ahli keluarganya dari azab api neraka. Masya-Allah besarnya peranan suami yang dibantu oleh isteri dan betapa pentingnya rumahtangga itu mesti dibina di atas dasar cinta dan benci kerana Allah S.W.T.

Kesimpulan

Moga kita semakin faham mengenai kewajipan-kewajipan kita mengenai adab-adab yang perlu dijaga di dalam rumahtangga ini agar jangan sampai pasangan hidup kita menuntut kita pada hari kiamat. Kita ingin cinta ini sampai ke syurga-Nya. Kalau seseorang sudah mencintai Allah S.W.T dan mencintai seseorang kerana Allah S.W.T.

Walaupun sebesar mana ujian yang datang, walaupun seluruh makhluk memusuhi dan membencinya, namun dia tetap mendapat kebahagiaan dan ketenangan dan akan terus sabar dan tabah membawa ahli keluarga dan rumahtangganya istiqamah berada di atas jalan kebenaran. Dan akan sentiasa menyayangi dan melindungi pasangannya, ahli keluarganya dan rumahtangganya dari sesuatu yang tidak baik dan merosak kegembiraan dan kebahagiaannya di dunia dan di akhirat.

Wallahu ‘aklam.

FARIDAH KAMARUDDIN – HARAKAHDAILY 29/3/2021

- Advertisement -