Muslimat mesti berhati waja tempuh cabaran akhir zaman

- Advertisement -

TEMERLOH: Cabaran dunia akhir zaman tetap menuntut peranan para muslimah dalam melaksanakan amar makruf nahi munkar, sekali gus perlu memiliki hati waja agar mampu membantu perjuangan Islam.

Ketua Muslimat PAS Kawasan Temerloh, Ustazah Alawiyah Kasdan berkata, sifat tersebut mesti wujud dalam diri dengan memperbanyakkan menghafal hadis, memperteguhkan iman dan menjadi dermawan.

- Advertisement -

Beliau mengajak mencontohi srikandi berhati waja seperti Asma’ Abu Bakar R.A yang membantu Rasulullah S.A.W dalam perjuangan Islam terutama semasa Hijraturrasul dari Makkah ke Madinah al-Munawwarah.

Seruan tersebut disampaikan Ustazah Alawiyah pada ceramah anjuran Lajnah Dakwah Muslimat PAS Temerloh bersama Group Al-Quran Muslimat Surau di Surau Al-Muttaqin Damai Court, di sini kelmarin.

Katanya, peranan Asma’ itu sehingga beliau digelar pemilik dua pengikat pinggang kerana gigihnya membawa bekal makanan untuk Rasulullah dan ayahnya, Abu Bakar R.A di Gua Thur ketika persiapan hijrah tersebut.

Program yang diadakan sempena sambutan Hari Wanita Sedunia baru-baru ini itu bertujuan mengingatkan kaum muslimat terhadap cabaran akhir zaman dan pentingnya peranan mereka mendukung gerakan Islam.

Majlis juga bertujuan mengeratkan ukhuwah antara mereka selain diserikan dengan persembahan kumpulan salawat Nabi yang turut membariskan golongan muda, serta diceriakan juga dengan sesi cabutan bertuah.

Hadir sama dalam program yang memberi penekanan dari sudut ilmu dan motivasi untuk membantu agama ini adalah Pengerusi Lajnah Dakwah Muslimat PAS Temerloh, Ustazah Morsidah Mohd Amin. – HARAKAHDAILY 21/3/2021

- Advertisement -