Muslimat usaha bentuk ahli penuhi ciri Ansarullah

- Advertisement -

KUANTAN: Muslimat PAS perlu menjadi Hawariyyun yakni pengikut setia yang membela perjuangan Islam dengan melengkapkan ciri-ciri Ansarullah yakni pembantu agama Allah dalam diri sendiri.

Naib Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Salamiah Mohd Nor menyeru perkara itu semasa Munajat AKIFI Muslimat PAS Kawasan Kuantan dan Muslimat PAS Kawasan Indera Mahkota masing-masing pada 13 dan 14 Mac lalu.

Program secara fizikal dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat ini telah dilangsungkan di Dewan Saadah Kampung Razali, di sini, manakala Indera Mahkota diadakan secara atas talian menerusi aplikasi Zoom.

- Advertisement -

Tegasnya, tanggungjawab pembentukan diri itu agar melayakkan anugerah pertolongan dan kemenangan daripada Allah sebagaimana program Jentera 12,000 atau J12K yang disusun Lajnah Tarbiyah PAS Pusat.

“Sebaik-baik sahabat itu empat orang dan sebaik-baik pasukan 400 orang. Sebaik-baik tentera 4,000 orang dan tidak dikalahkan dengan 12,000 orang dengan sebab sedikit itu,” ujarnya memetik hadis dan ayat 1 hingga 14 surah as-Saff.

Jelas beliau, hadis tersebut menjadi inspirasi dan asas penyusunan program J12K dengan menetapkan amalan harian yang mesti dilaksanakan setiap ahli dan dinilai menerusi Buku Rekod Amalan Muslimat AKIFI.

Jelas beliau, AKIFI yang merupakan singkatan Alim, Haraki dan Sufi itu bertujuan memperkasakan pembinaan kekuatan rohani dan jasmani ahli Muslimat dengan melakukan amalan digariskan secara istiqamah.

Antaranya jelas beliau adalah mensucikan diri, solat fardu berjemaah, solat-solat dan puasa sunat, membaca dan mentadabbur al-Quran, tilawah surah harian, wirid harian, sedekah dan tafakkur serta memiliki sifat takwa.

“Muslimat sebagai Jentera 12K hendaklah bangun malam sebagaimana dinyatakan dalam surah al-Muzammil untuk membina kekuatan rohani sebagai pejuang agama Allah. Dalam surah tersebut Allah menyeru kepada orang-orang yang berselimut agar bangun, tinggalkan selimut.

“Allah suruh bangun di waktu malam ketika orang sedang sedap tidur untuk bina kekuatan dengan bertahajud. Jiwa yang dilatih melawan hawa nafsu akan menjadi kuat sebagaimana kita berpuasa, nampak badan kita lemah tetapi sebenarnya kita sedang membina kekuatan dengan sifat sabar di dalam diri kita. 

“Sebagai Jentera Pilihan Raya, Muslimat kena melazimi puasa sunat seperti Puasa Hari Putih, puasa setiap hari Isnin dan Khamis sebagaimana sunnah Rasulullah S.A.W,” ujarnya memberi taujihat.

Beliau yang juga menyeru Muslimat agar setiap hari membaca al-Quran, melazimi membaca surah Yasin, as-Sajaddah, al-Waqiah, al-Mulk dan al-Kahfi pada sepuluh ayat pertama dan sepuluh ayat terakhir.

“Semoga Allah membantu keluarkan kita dari dugaan dan cabaran dengan pelbagai serangan dari syaitan termasuk juga orang-orang munafik yang tidak puas hati dengan kemenangan Islam.

“Muslimat PAS hendaklah sentiasa wala’ dengan apa-apa jua keputusan parti, terima dengan hati yang redha walaupun tidak kena dengan selera kita.

“Kerja buat kita adalah fokus kepada akhirat, bimbang dan risau kalau ianya tidak diterima Allah, takut menjadi orang yang muflis.

“Sekiranya menghadapi masalah, banyakkan memohon kekuatan dan pertolongan dari Allah, bercakap dengan Allah dengan menyebut sifat-sifat Asmaul Husna,” nasihatnya.

Program Muslimat PAS Kuantan dihadiri 90 peserta, manakala Zoom Muslimat Indera Mahkota diikuti seramai 123 peserta termasuk kalangan warga emas yang sebelum ini tiada ilmu dalam penggunaan tersebut.

Sementara itu Pengerusi Lajnah Tarbiyah dan Pengkaderan Muslimat PAS Kuantan, Ustazah Rosmani Mustafa berkata, perjuangan menegakkan Islam adalah cita-cita murni para pencinta agama dan pencari redha Allah.

“Sebagai sebuah gerakan Islam yang sudah berjuang di persada politik tanah air menjangkau lebih 60 tahun, PAS komited bermuhasabah dari masa ke masa menyusun dan menambah baik gerak kerja dan penyusunan jenteranya dari segenap sudut.

“PAS telah berusaha membentuk generasi Jundullah yang memiliki ciri-ciri Ansarullah seperti disebut dalam al-Quran. Justeru, program ini untuk membentuk ahli memiliki akhlak perjuangan Islam,” ujarnya menerangkan usaha merealisasikan perkara itu.

Kedua-dua program juga menerima ucapan yang disampaikan masing-masing oleh Ketua Muslimat PAS Kuantan, Ustazah Azizah Ali dan Ketua Muslimat PAS Indera Mahkota, Salwani Salleh. – HARAKAHDAILY 17/3/2021

- Advertisement -