Kebajikan gelandangan sentiasa dalam perhatian kerajaan

- Advertisement -

SEMALAM saya singgah sebentar di Pusat Gelandangan Transit Sementara Sentul Perdana bagi program agihan makanan Dapur It’am 3.0 kepada 100 orang Rakan Jalanan.

Turut hadir, Datuk Haji Mohd Ajib bin Ismail, Pengarah JAWI yang juga turut menyampaikan sumbangan JAWI Food Bank berupa 100 pek barangan makanan kering seperti coklat dan biskut kepada penerima.

- Advertisement -

Agihan pek makanan percuma tersebut telah bermula semenjak 15 Februari yang lalu sehingga 11 April 2021. Ia susulan pelancaran program Dapur It’am 3.0 Masjid dan Surau Wilayah-wilayah Persekutuan yang dilancarkan 15 Februari lalu.

Sejumlah 100 pek makanan bermasak disediakan oleh 6 buah masjid dan 1 buah surau Jumaat di Zon 2 untuk diedarkan pada setiap hari 4 kali seminggu di Pusat Gelandangan tersebut.

Saya telah meninjau pusat penempatan gelandangan ini. Alhamdulillah, rata-rata kesemua gelandangan di situ berasa amat selesa dengan penginapan yang disediakan.

Penempatan yang diberikan kepada mereka membolehkan mereka untuk menguruskan diri mereka dengan baik, mencari peluang pekerjaan dan membantu mereka untuk membina hubungan bersama masyarakat lain. 

Gelandangan yang terpilih di pusat ini akan memulakan kerjaya baru sebagai pekebun. Mereka akan dilatih dan diuruskan oleh pihak JAWI dan pihak DBKL menerusi Program Anjung Kelana. Program ini akan bermula pada bulan Mac nanti dan bertujuan untuk mengajar mereka mencari sumber pendapatan sendiri. 

Terima kasih dan tahniah pihak JAWI atas sumbangan yang diberikan serta membuka peluang pekerjaan baru kepada gelandangan yang memerlukan.

Saya berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka yang terputus sumber pendapatan untuk mendapatkan makanan bagi menyara diri sendiri serta membeli keperluan menguruskan diri. Semoga dipermudahkan urusan mereka pada masa akan datang.

YB USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 25/2/2021

- Advertisement -