PAS komited dengan politik damai dan penyatuan

- Advertisement -

PAS mengambil pendekatan politik untuk menyatukan parti-parti, NGO dan NGI Islam dan Melayu di atas Dasar Perpaduan Ummah. Perkukuh Muafakat Nasional dan Pertahan Perikatan Nasional adalah jalan tengah yang diambil bagi mengusahakan perdamaian politik antara PAS, Umno dan BERSATU.

Perdamaian politik ini amat perlu bagi memastikan pertandingan satu lawan satu dengan Pakatan Harapan (PH) pada PRU-15 yang akan datang. Setelah mereka memerintah selama 22 bulan, Pakatan Harapan telah membuktikan mereka adalah mudarat paling besar buat negara kita. Perpecahan ummah adalah nafas baru kepada PH!

- Advertisement -

Ada yang bertanya kepada saya, sekiranya PAS komited dengan agenda penyatuan ummah dan bersungguh mengajak Umno untuk terima BERSATU, boleh atau tidak PAS menerima parti yang lain, baik yang berasaskan Melayu atau bukan-Melayu?

Jawapannya boleh dengan syarat tanpa penjajaran politik dengan DAP dan DS Anwar Ibrahim. Inilah pendirian tegas dan jelas demi agenda kesatuan ummah. Mengambil pengajaran Sirah Nabawiyyah, Rasulullah S.A.W telah dijemput secara terhormat ke Madinah melalui Perjanjian Aqabah yang pertama dan kedua bagi menyelesaikan konflik peperangan golongan majoriti Aus dan Khazraj yang telah berlanjutan selama 120 tahun. Mereka dapat didamaikan dengan keadilan dan akhlak Islam!

Itulah formulanya. It’s not rocket science! Sekiranya semua pihak berpegang teguh dengan keadilan dan akhlak Islam, yakni, sabar, berlapang dada, memaafkan, bertolak ansur, tidak terlalu dominasi, tidak mengkhianati konsensus atau perjanjian, InsyaAllah kesatuan ini akan berjaya dan berkekalan. 

Oleh yang demikian, Pemuda PAS, Pemuda Umno dan ARMADA perlu fokus dan memperkasa titik persamaan antara tiga sayap parti ini dan jadikan ia sebagai pencetus kepada pengukuhan agenda kesatuan ummah. Percayalah, sekiranya sayap-sayap Pemuda ini boleh bersama, ia adalah masa depan yang cerah buat negara ini.

YB SENATOR IR. TS. HJ. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ketua Pemuda Perikatan Nasional – HARAKAHDAILY 25/2/2021 

- Advertisement -