Pelajar ikuti PdPR di Makmal Komputer UniMAP

- Advertisement -

KANGAR: Pelajar terpilih daripada 10 sekolah yang termasuk kategori kurang berkemampuan berpeluang mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di Makmal Komputer Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia (FTKK) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Seramai 18 pelajar sekolah di sekitar Kangar yang berdepan masalah untuk mengikuti PdPR sejak Januari lalu teruja dapat mengikuti pembelajaran di UniMAP.

Naib Canselor UniMAP, Prof Ir Ts Dr R Badlishah Ahmad berkata, program itu merupakan inisiatif tanggungjawab sosial universiti pensyarah dan tenaga pengajar dalam usaha mengatasi masalah keciciran pelajar.

Katanya, mereka berdepan masalah mengikuti pembelajaran disebabkan kekangan kemampuan fizikal dan kewangan.

- Advertisement -

Menurut beliau program terbabit direncanakan lebih awal, namun selepas Perlis dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 22 Januari lalu, program terbabit terpaksa ditunda.

“Alhamdulillah, sebaik sahaja PKPP dilaksanakan di Perlis 19 Februari lalu, UniMAP menggerakkan kembali inisiatif dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Perlis, Unit Pembangunan Komuniti dan penduduk setempat.

“Program itu tetap diteruskan terutama membabitkan pelajar sekolah menengah yang hanya akan mula bersekolah pada bulan April hadapan,” ujarnya di sini.

Dr R Badlishah berkata, kekuatan akademik dan penyelidikan UniMAP merupakan antara aspek yang digemblengkan bagi menyokong agenda nasional University For Society (U4S).

Kata beliau selain sumbangan berbentuk produk, UniMAP juga terlibat dalam 16 projek penyelidikan yang bersifat pemindahan ilmu, manakala 62 program lagi dilaksanakan bagi tujuan pengupayaan komuniti.

“UniMAP juga berjaya melibatkan 69 industri dan agensi yang bersama-sama menyumbang kepada kelestarian komuniti, dengan menyaksikan penyertaan 1,863 ahli masyarakat.

“Secara keseluruhannya sepanjang 2020 seramai 2,217 kakitangan dan pelajar universiti terlibat dalam program tersebut yang merupakan permulaan baik membantu komuniti mencapai kelestarian dalam agenda Matlamat Pembangunan Lestari (SDG),” katanya. – HARAKAHDAILY 25/2/2021

- Advertisement -