Pengalaman penuh hikmah dalam PdPR

- Advertisement -

DEWAN Muslimat PAS Malaysia ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua guru di Malaysia yang telah menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan tanggungjawab sepanjang sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang bermula pada 20 Januari yang lalu dan bakal berakhir bulan Mac secara beransur-ansur. Segala jasa dan pengorbanan guru amat kami hargai dan sanjungi. Hanya Allah S.W.T dapat membalas segala usaha yang diberikan dengan ganjaran yang setimpal.

Dalam menghadapi PdPR, ada masanya ibu bapa terlupa, kepayahan yang mereka lalui turut dihadapi oleh para guru. Jika ibu bapa sukar mendapat talian internet yang baik, guru juga menghadapi perkara yang sama. Rungutan dari ibu bapa yang pelbagai adalah antara cabaran yang perlu dihadapi oleh guru dengan sabar setiap hari. Ibu bapa harus cuba sesekali untuk meletakkan diri mereka di dalam keadaan para guru. Begitu juga sebaliknya.

- Advertisement -

Sesungguhnya menghadapi PdPR ini bukan perkara yang mudah. Ia perkara baharu kepada setiap guru dan ibu bapa yang terlibat. Apa yang penting, kedua pihak harus bekerjasama membantu anak-anak berhadapan masalah pembelajaran di sepanjang sesi PdPR yang akan berakhir tidak lama lagi. 

Namun, segala kepayahan dan kesusahan yang dihadapi oleh semua pihak pastinya mendatangkan hikmah yang baik. Dalam keadaan ini, guru-guru memperolehi kemahiran penggunaan aplikasi teknologi dalam PdP yang boleh dimanfaatkan juga di dalam kelas. Ibu bapa juga mendapat pengalaman penggunaan teknologi masa kini dalam menjayakan PdP. 

Ujian menghadapi PdPR ini juga merupakan medan muhasabah kepada para ibu bapa sejauh mana tekunnya kita membantu anak-anak dalam pembelajaran. Mungkinkah selama ini kita sekadar melepaskan semua pada bahu guru-guru tanpa sedikit pun cuba untuk membantu. Waktu inilah kita melihat warna sebenar sifat anak-anak di sekolah.

Dewan Muslimat PAS Malaysia juga meyakini para guru sebenarnya golongan profesional yang memiliki kekuatan mental yang tinggi dalam menghadapi perubahan kaedah pengajaran. Kami mendoakan semoga para guru diberi kesabaran dan ketabahan untuk memikul amanah yang berat ini. Diharapkan ibu bapa dan guru berusaha menghabiskan masa-masa terakhir PdPR ini dengan berusaha bersungguh-sungguh membantu anak-anak menghadapi pembelajaran. Apabila buka sekolah kelak, semoga anak-anak dapat menghadapi sesi pembelajaran dengan lancar.

USTAZAH SALAMIAH MOHD NOOR
Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
22 Februari 2021 | 10 Rejab 1442H – HARAKAHDAILY 22/2/2021

- Advertisement -