Guru panjat bukit ikuti mesyuarat atas talian

- Advertisement -

MACHANG: Bagi mengatasi capaian internet terutamanya di kawasan luar bandar sebanyak 77 pencawang telekomunikasi baharu akan dibina seluruh Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Teknologi Maklumat, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, usaha itu bagi menyelesaikan masalah liputan internet di negeri berkenaan.

Selain itu katanya, sebanyak 934 pencawang telekomunikasi akan dinaik taraf daripada rangkaian 3G kepada 4G sehingga akhir tahun ini.

- Advertisement -

“Kerajaan Kelantan mengucap terima kasih pada kerajaan Persekutuan kerana memperuntukkan sebanyak RM747 juta bagi melaksanakan Program Jalinan Digital Negara (Jendela).

“Peruntukkan berkenaan disediakan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia. Diharap dengan pelaksanaan Jendela akan menyelesaikan masalah masyarakat berhubung liputan internet di Kelantan,” katanya di sini.

Sehubungan itu beliau melahirkan rasa syukur dan merakam ucapan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan kerana menjadikan Kelantan antara negeri yang terpilih dilaksanakan program Jendela.

Sementara itu, di KUALA KRAI guru-guru yang mengajar di kawasan pedalaman termasuk di Kampung Bahagia terpaksa memanjat bukit bagi mendapat akses internet.

Mereka juga terpaksa bertenggek di atas jentera berat yang tersandai di kawasan berkenaan bagi mendapat line internet.

Seorang guru Mohd Zaki Idris Mamat berkata, di lokasi itu juga dijadikan tempat mesyuarat guru-guru dengan Pejabat Pelajaran Daerah secara Google Meet.

“Bagaimanapun ketika menjejaki lokasi itu kami menemui kesan-kesan tapak kaki dan najis gajah yang dipercayai pernah melalui kawasan berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun masalah turut mendapat perhatian Adun Guchil, Hilmi Abdullah apabila turut meninjau lokasi berkenaan.

Rancangan Pemulihan Tanah Kampung Bahagia akan dibina menara telekomunikasi jalur lebar 4G di bawah program Perkhidmatan Pemberian Sejagat tidak lama lagi.

Guru-guru yang mengajar di sekolah menengah agama dan sekolah rendah kebangsaan di situ juga terpaksa menggunakan bot dengan menghulu Sungai Kelantan dan Sungai Pergau dari Tangga Krai. – HARAKAHDAILY 18/2/2021

- Advertisement -