Guru Pasti gigih pastikan murid patuhi SOP

- Advertisement -

KANGAR: Dewan Muslimat Perlis menghargai pengorbanan guru-guru Pasti yang boleh dikategori sebagai petugas barisan hadapan ketika era pandemik Covid-19 sekarang.

Ketuanya, Ustazah Latifah Mat berkata, guru-guru Pasti terpaksa bekerja keras bagi memastikan murid mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

Katanya, bukan mudah bagi mengawal anak-anak Pasti di mana mereka tidak memahami situasi pandemik yang berlaku sekarang.

“Bagaimanapun berdasar lawatan Dewan Muslimat ke Pasti yang terdapat di Perlis kami mendapati kebanyakannnya boleh menyesuaikan diri dengan rutin normal baharu sekarang.

- Advertisement -

“Kebanyakan murid yang ditemui juga begitu teruja datang belajar kerana sekolah ditutup dalam tempoh begitu lama sebelum ini,” ujarnya di sini.

Pembukaan semula Pasti di seluruh negara bermula 7 Februari lalu. Di Perlis terdapat 39 Pasti iaitu 11 di parlimen Padang Besar, masing-masing 14 di Kangar dan Arau.

Latifah juga berkata, sehingga sekarang Dewan Muslimat Perlis melawat 39 Pasti di seluruh negeri itu bagi meninjau pematuhan SOP yang ditetapkan di premis pendidikan pra persekolahan milik PAS tersebut.

“Kami juga terharu melihat guru-guru Pasti begitu gigih bagi memastikan kelancaran sesi pembelajaran pada era normal baharu sekarang,” katanya.

Pada kunjungan itu Dewan Muslimat Perlis turut menyampaikan sumbangan peralatan pengajaran termasuk kertas A4 kepada semua Pasti yang dilawati.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum ini menetapkan sesi persekolahan murid prasekolah, tahun satu dan dua akan bermula 1 Mac ini.

Manakala murid tahun tiga hingga enam dibenarkan hadir ke sekolah pada 8 Mac. Bagi pelajar sekolah menengah kategori kumpulan A iaitu Johor, Kelantan, Terengganu dan Kedah pula akan bermula 4 April.

Selain itu, kolej vokasional bagi sijil dan Diploma Vokasional Malaysia Tahun 1 (Semester dua) turut dibenarkan beroperasi mulai 1 Mac, manakala sekolah antarabangsa serta pusat tuisyen 8 Mac. – HARAKAHDAILY 22/2/2021

- Advertisement -