Muslimat cungkil bakat nyanyian dan video

Ameerah Pahang dan Muslimat Indera Mahkota anjur pertandingan lagu dan video berunsur dakwah

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: Ameerah Negeri Pahang sedang menganjurkan pertandingan Lagu Dakwah Inspirasi Evergreen sebagai mempromosikan Ameerah Fan Club (AFC) Pahang kepada masyarakat.

Pengarah Ameerah Pahang, Solehah Shah berkata, pertandingan ini adalah sebagai salah satu usaha untuk menjadikan AFC dikenal oleh anak muda di seluruh negeri ini di samping menyuburkan hiburan Islam.

- Advertisement -

“Ia juga menggalakkan semua anak muda untuk menggunakan platform media sosial untuk mengisi masa lapang pada musim pandemik ini selari dengan tuntutan Islam itu sendiri,” ujarnya.

Hadiah pemenang bagi penyertaan ini adalah wang tunai sebanyak RM500 akan diberikan kepada para pemenang dengan hadiah diumumkan di akhir program ini 28 Februari depan.

“Hadiah tempat pertama adalah sebanyak RM200 dan diikuti RM150 kepada naib juara dan RM100 bagi tempat ketiga. Hadiah saguhati pula berupa wang tunai RM50,” katanya lagi. 

Menurut beliau lagi, pertandingan yang diadakan menggunakan platform media sosial Facebook dan Instagram ini menggunakan subtema ‘Inspirasi Evergreen’. 

Para peserta boleh memilih daripada lima (5 ) jenis lagu yang disediakan iaitu lagu ‘Sejarah Mungkin Berulang’ dendangan Newboys, lagu ‘Wajah Kekasih’ dendangan Dato’ Siti Nurhaliza.

Atau lagu ‘Rahsia Di Pohon Cemara’ dendangan Exist, lagu ‘Bunga Wakawali’ dendangan Elly Mazlin dan lagu ‘Isabella’ dendangan Amy Seach.

Menurut beliau lagi, lirik lagu hendaklah diubah berunsurkan ketuhanan, dakwah dan perjuangan, persahabatan, keprihatinan dan kemanusiaan atau nasihat yang baik.

Penyertaan ini terbuka kepada wanita berumur 18 tahun sehingga 40 tahun, anak jati kelahiran Pahang atau mereka yang mengundi di Pahang. 

Orang ramai yang melepasi syarat-syarat di atas, sangat dialu-alukan untuk menyertai pertandingan ini dengan menghantar rakaman suara melalui medium WhatsApp tertera di poster hebahan. 

Sementara itu Muslimat PAS Kawasan Indera Mahkota menerusi Lajnah Dakwah bersama Lajnah Penerangan dan Media Baharu pula telah menganjurkan pertandingan video pendek berkonsep ‘Cinta Rasul’.

Menurut Pengerusi Lajnah Dakwah Muslimat PAS Indera Mahkota, Ustazah Zainab Mohamad, pertandingan ini bertujuan menyebarkan keindahan Islam dan kemuliaan budi pekerti Rasulullah S.A.W.

“Video yang dipaparkan adalah dalam bentuk lakonan, lukisan kartun dan penulisan yang dapat menerap dan meningkatkan nilai-nilai terutama dalam hubungan sesama masyarakat.

“Program ini berjaya membuka ruang baharu dalam dakwah bersesuaian norma baharu sekarang. Mahu tidak mahu semua peringkat umur masyarakat terpaksa menerokai bidang teknologi maklumat,” ujarnya.

Beliau menyeru supaya ruang dakwah di alam maya dipergiatkan dan berharap usaha seumpama dapat mengeratkan hubungan antara ahli masyarakat serta disuburkan lagi di masa depan.

Pemenang pertandingan ini diumumkan milik Farah Shafiqah Shaharul Faizal di tempat pertama, diikuti Rabiatul Adawiyah Idris kedua dan tempat ketiga kepada Nur Hana Syakirah Mohd Nadhir.

Ustazah Zainab hadir berkunjung ke rumah setiap pemenang tersebut menyampaikan hadiah memandangkan situasi pandemik COVID-19 ketika ini. – HARAKAHDAILY 20/2/2021

- Advertisement -