Muslimat serah sumbangan ke Pondok Tahfiz Haji Ahmad

- Advertisement -

TEMERLOH: Muslimat PAS Malaysia segera menggerakkan bantuan setelah menerima maklum terdapat mangsa banjir yang masih bergelut memulihkan operasi dan urusan harian setelah ditimpa musibah itu.

Ketua Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh sendiri turun padang menunaikan hajat penyumbang yang disampaikan ke Pondok Tahfiz Haji Ahmad Kampung Dala Lanchang, di sini baru-baru ini.

Beliau ingin menyaksikan sendiri kesan musibah itu dan mendekati golongan yang diuji Allah S.W.T tersebut, selain menyempurnakan pemberian dan kasih sayang daripada golongan berkemampuan kepada saudara seagamanya.

- Advertisement -

Lawatan kerja yang dikendalikan bersama oleh Lajnah Kebajikan Muslimat PAS Malaysia dan Dewan Muslimat PAS Negeri Pahang ini telah menyampaikan sumbangan kewangan dan barangan peralatan.

Antaranya berupa peralatan untuk dapur memasak seperti periuk besar, tong air, periuk nasi dan lain-lain lagi yang diserahkan ketika kunjungan itu kepada Mudir Pondok Tahfiz Haji Ahmad, Ustaz Abdul Hadi Ahmad.

Serahan sumbangan tersebut bersama peralatan-peralatan itu telah disampaikan Ustazah Nuridah dengan turut dihadiri Ketua Muslimat PAS Pahang, Ustazah Salamiah Mohd Nor dalam pertemuan di Markas PAS Paya Kecik, di sini.

Ustazah Salamiah melafazkan penghargaannya kepada penyumbang seluruh negara yang sejak awal musibah tidak henti-henti memberikan bantuan termasuk di Lipis, Cameron Highlands, Rompin, Indera Mahkota, Kuala Krau dan Pekan.

Ustazah Nuridah pula sempat menuturkan taujihatnya di mana mengingatkan bahawa Allah S.W.T menguji para hamba-Nya selaras kemampuan mereka dan sememangnya dunia adalah tempat Dia menguji setiap manusia.

“Tidak perlu berduka cita dengan takdir yang telah ditentukan Allah dan mudah-mudahan Allah gantikan dengan yang lebih baik serta menambahkan kekuatan dan kecemerlangan kepada Pondok Tahfiz Haji Ahmad.

“Diharap sedikit sumbangan diberikan ini dapat melegakan sedikit kesulitan yang dilalui,” ujarnya melihat sendiri kerosakan dialami institut pengajian ummah itu. – HARAKAHDAILY 20/2/2021

- Advertisement -