KUALA LUMPUR: Rakyat disaran agar memainkan peranan melaporkan kepada pihak berwajib seandainya masih terdapat aplikasi-aplikasi seperti Sugarbook yang mungkin secara sembunyi dan tidak diketahui umum.
Bagi Ahli Parlimen Kuala Krai, Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman, ternyata usaha terancang seperti itu dibina untuk merosakkan masyarakat pada hari ini.
Justeru, kata beliau laporan berkaitan tangkapan dan tahanan reman telah dibuat terhadap pengasas Sugarbook amat menggembirakan semua pihak.
Menurutnya, beliau membaca laporan tentang aplikasi Sugarbook yang mempunyai kaitan dengan cara baru mencari teman zina dalam kalangan anak muda di media sosial.
Tambahnya, ternyata aplikasi itu dibangunkan dengan penuh terancang untuk mengheret masyarakat ke lembah penzinaan dan merosakkan anak muda di Malaysia.
Tambahnya, jika benar hampir 13,000 anak muda terlibat yang juga turut melibatkan pelajar-pelajar universiti, ia adalah sesuatu yang sangat merbahaya kepada ummah.
Fakta juga menunjukkan Malaysia berada di tangga ketiga dunia selepas India dan Indonesia sebagai pusat sugar baby juga tidak boleh dipandang mudah oleh semua pihak.
“Namun begitu, saya menyambut baik usaha pelbagai pihak khusus kerajaan hari ini yang mula menunjukkan sikap positif untuk membanteras isu ini sehingga ke akar umbi,” ujarnya menerusi laman Facebook beliau.
Dalam masa yang sama, beliau mengucapkan tahniah kepada Kementerian Dalam Negeri, Timbalan Menteri Agama, Timbalan Menteri Wanita, Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dan Pemuda PAS yang mengambil tindakan segera dalam membendung dan menyekat perkara itu.
“Dalam masa yang sama, saya juga menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar memainkan peranan melaporkan kepada pihak berwajib seandainya di luar sana masih terdapat aplikasi-aplikasi sebegini yang mungkin secara sembunyi dan tidak diketahui,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 20/2/2021
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!